Pemuda PAS perlu bangkit kesedaran politik anak muda

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

PASIR PUTEH:
Undi 18 yang dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) dijangka memberi kelebihan besar kepada PAS kerana dasar perjuangan parti itu berteraskan al Quran dan Sunnah.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sejarah Islam termasuk pada zaman Nabi Muhammad s.a.w antara pihak yang kuat menyokong perjuangan baginda ialah golongan anak muda.

Bagaimana pun katanya pelaksanaan itu sedikit sebanyak memberi cabaran, bahkan jentera pilihan raya permuda perlu merangka perancangan dan strategi bagi memastikan sokongan menyebelahi PAS.

“Kita kena lihat secara positif, undi 18 tahun ini positif kepada PAS, maka di sinilah kita boleh mengatur strategi kerana kita memperjuangkan dasar Islam, Islam mudah masuk dalam hati pemuda.

- Advertisement -

“Kalau kita atur perancangan dengan baik, pengundi 18 tahun akan bersama-sama kita dalam pilihan raya akan datang, kita rancang dengan teliti pengundi 18 tahun insyaAllah akan bersama-sama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kelantan Kali Ke-63 di Tok Aman Bali Beach Resort di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat; Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Mohd Kamal Mohamad dan barisan kepimpinan Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Terengganu berkata, salah satu cabaran yang membabitkan golongan tervabit ialah tanggapan salah terhadap kepentingan politik.

Beliau berkata, segelintir belia menganggap politik bukan sebahagian dari kehidupan mereka, malah tidak mempedulikan siapa dan parti mana yang bakal mengetuai pentadbiran negara.

“Kita kena merancang bagaimana untuk memperbetulkan kefahaman mereka yang menganggap politik bukan sebahagian daripada kehidupan mereka, siapa yang hendak berkuasa nanti, dari parti mana ikutlah..

“Maka tanggungjawab kita memperbetulkan tanggapan tersebut, anak muda perlu buat keputusan siapa yang akan memerintah, pilihan raya sebahagian politik dan politik sebahagian daripada ajaran Islam,” katanya.

Beliau juga berkata elemen keluarga ahli PAS dapat memainkan peranan bagi pastikan setiap individu yang berusia seawal 18 tahun dapat memberi sokongan kepada parti terbabit.

“Antara kaedah yang dilaksanakan yang ada di tangan kita ambil dahulu, jangan sudah ada di tangan kita lepas, siapa yang ada ialah anak-anak, saya percaya kita ada datanya.

“Maka pemuda kawasan kena programkan benda ini, anak ahli PAS yang sudah ada di tangan kita, jangan pula yang sudah ada kita lepas, kita sibuk yang luar itu kena buat kerja, kerja betul-betul.

“Orang bercakap mengenai media baru termasuk Facebook dan sekarang TikTok, kita akui kepentingan media baru tetapi kita jangan lupa kepentingan cara lama iaitu santuni jumpa tanya khabar ini yang perlu dikekalkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2022

- Advertisement -