Kerjasama Rusia, Turkiye dan Iran menggusarkan AS

SEJURUS selepas berakhirnya kunjungan Joe Biden ke Asia Barat, Presiden Rusia Vladimir Putin pula mengadakan lawatan ke ibu negara Iran, Tehran untuk menghadiri sidang kemuncak tiga buah negara iaitu Turkiye, Iran dan Rusia.

Advertisement

Ia adalah kunjungan pertama Vladimir Putin ke luar negara selepas bermulanya operasi ketenteraan Rusia di Ukraine yang boleh disifatkan sebagai petanda terhadap perubahan yang bakal berlaku ke atas senario geopolitik dunia.

Intipati utama sidang kemuncak tersebut ialah untuk menyelesaikan krisis di Syria khususnya operasi ketenteraan yang bakal dilakukan oleh Turkiye di wilayah utara Syria yang juga menjadi penempatan kem tentera Amerika Syarikat dengan alasan untuk memerangi kumpulan pengganas.

Persaingan yang sedang berlaku ketika ini menunjukkan pertembungan ketara antara dua kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat yang sedang bermati-matian cuba mempertahankan hegemoninya yang semakin lumpuh dan Rusia yang sedang membina pengaruh dan semakin mendapat kepercayaan di kalangan negara-negara utama di Asia Barat.

Jika dilakukan analisa secara mendalam, Vladimir Putin sedang memaparkan kepada dunia bahawa Rusia saat ini “memiliki pengaruh besar” dan secara terang-terangan “berani dan tidak gentar” berhadapan dengan Amerika Syarikat apatah lagi lawatan Joe Biden ke Asia Barat dilihat menemui kegagalan dan mendapat sambutan dingin.

Tambahan pula di saat ini rundingan antara Iran dan kuasa-kuasa besar dunia terutamanya Amerika Syarikat untuk menghidupkan kembali Perjanjian Nuklear Iran 2015 dilihat seakan-akan berakhir dengan jalan buntu dan menemui kegagalan, kunjungan Vladimir Putin ke Iran dilihat sebagai usaha beliau untuk “menempelak“ Barat dan sebagai amaran terhadap apa yang bakal berlaku di Asia Barat.

Ternyata benar kunjungan Vladimir Putin bakal memberi impak yang besar terhadap apa yang bakal berlaku di Asia Barat. Walaupun tiada siapa tahu “di sebalik tabir“ apa yang dibincangkan antara Vladmir Putin, Ayatollah Ali Khamenei, Recep Tayyip Edrogan dan Ebrahim Raisi, kesannya sudah mula terserlah dan bakal memberi impak ke atas senario geopolitik Asia Barat mahupun dunia.

Impak akibat daripada lawatan Vladimir Putin ke Iran adalah :

1- Sebelum tibanya Vladimir Putin di Tehran, kumpulan miltia Kurdis YPG telah menggesa Iran dan Rusia untuk menghalang operasi ketenteraan Turkiye yang bakal dilakukan di utara Syria. Ini adalah kerana di utara Syria terutamanya di sempadan Syria-Turkiye, kumpulan militia kurdis YPG adalah kumpulan pengganas yang “bermaharajalela“ yang menjadi ancaman kepada kestabilan Turkiye mahupun Syria.

2- Selepas berakhirnya sidang kemuncak antara ketiga-tiga negara tersebut, keputusan yang dicapai adalah Rusia, Iran dan Turkiye secara bersepakat akan berkerjasama untuk menghapuskan ancaman kumpulan – kumpulan pengganas yang sedang bermaharajalela di Syria terutamanya di utara Syria di mana ia secara tidak langsung menjadi kegusaran buat kumpulan-kumpulan militia terutamanya YPG/PKK, ISIS dan Al Qaeda.

3- Sidang kemuncak tersebut menjadi “petunjuk cemas” dan amaran kepada regim zionis Israel kerana sebelum lawatan Vladimir Putin ke Iran, Rusia sudah mula secara terang-terangan memberi amaran malah mengecam tindakan regim zionis Israel menceroboh ruang udara Syria dan menyerang kedudukan tentera Syria termasuk yang dikatakan depoh atau kem tentera milik Iran di Syria.

4- Sebagaimana yang dijangka, lawatan Joe Biden akan menemui kegagalan dalam kunjungannya ke Asia Barat. Manakala kunjungan Vladimir Putin ke Tehran pula memaparkan kejayaan awal kerana berjaya membentuk kerjasama dan persefahaman antara Rusia, Iran dan Turkiye dan seolah-olah memberi bayangan kepada Barat bahawa akan berlaku perubahan besar dalam senario geopolitik Asia Barat.

5- Negara-negara utama Asia Barat seperti Arab Saudi dan UAE seolah-olah tidak tunduk kepada Joe Biden terutamanya desakan Amerika Syarikat supaya negara-negara pengeluar utama minyak mentah Asia Barat meningkatkan pengeluaran ke pasaran dunia untuk menangani kenaikan paling tinggi minyak mentah dekad ini yang mengakibatkan kenaikan tinggi inflasi, kenaikan tinggi harga barangan keperluan asas dan kemelesetan ekonomi yang memberi kesan yang amat teruk terutamanya kepada Barat.

6- Kegagalan Joe Biden dalam kunjungannya ke Asia Barat sebenarnya memberi petanda buruk kepada Barat terutamanya Amerika Syarikat bahawa Asia Barat telah mula beralih arah kepada Rusia mahupun China kerana boleh dikatakan kebanyakkan tindakan negara-negara utama Asia Barat seolah-olah lebih mirip kepada “aturan” geopolitik mengikut kehendak Rusia mahupun China.

Sebagaimana ramalan majoriti penganalisa geopolitik dunia tentang kecenderungan negara-negara Asia Barat terhadap Rusia, ia benar- benar berlaku. Kecenderungan tersebut jelas terpapar saat ini namun satu-satunya entiti haram yang akan merasai kesan buruk daripada kecenderungan tersebut dan hubungan akrab antara Rusia, Iran dan Turkiye ialah negara haram Israel.

Selain daripada amaran Rusia terhadap serangan udara negara haram Israel ke atas Syria, terdapat juga laporan bahawa sistem peluru berpandu Rusia S – 300 yang berada di Syria telah melepaskan “tembakan amaran“ terhadap pesawat pejuang negara haram Israel yang menceroboh ruang udara Syria namun yang paling mengejutkan banyak pihak ialah keputusan Kementerian Kehakiman Rusia untuk mengharamkan operasi The Jewsih Agency di Rusia.

The Jewish Agency ialah sebuah pertubuhan paling berpengaruh negara haram Israel dan pengharaman tersebut akan memberi impak besar terhadap regim zionis sehinggakan Perdana Menteri negara haram Israel Yair Lapid memberi amaran keputusan Kementerian Kehakiman Rusia akan memberi impak buruk terhadap hubungan Rusia-negara haram Israel.

Ia juga mengakibatkan negara haram Israel secara tergesa-gesa menghantar delegasi ke Moscow untuk merayu keputusan tersebut agar ditarik balik di mana secara jelas ia memaparkan “ketakutan“ regim zionis akan keretakan hubungannya dengan Rusia yang mampu menjejaskan kekuatan dan pengaruhnya berikutan hubungan akrab Rusia dengan Iran, Syria dan juga Hizbullah di Lubnan.

Ini adalah kerana jika berlakunya keretakan atau terputusnya hubungan antara Rusia dan negara haram Israel, ia berkemungkinan mampu mengakibatkan samada Syria, Iran mahupun Hizbullah “berani“ untuk bertindakbalas terhadap serangan regim zionis ataupun mungkin mengakibatkan Syria, Iran atau Hizbullah akan berani untuk menyerang negara haram Israel tanpa adanya “diplomasi“ antara Rusia-negara haram Israel sebagaimana yang wujud selama ini yang menghalang daripada berlakunya kemungkinan-kemungkinan tersebut berlaku.

Jika ini berlaku, sudah tentu Asia Barat akan menjadi medan tempur dan negara haram Israel akan terdedah dengan ancaman dan serangan, bukan sahaja daripada Syria, Iran, Hizbullah tetapi termasuk juga daripada kumpulan-kumpulan pejuang Palestin seperti HAMAS dan Jihad Islami dan ia juga akan mengakibatkan kebangkitan umat Islam di Asia Barat yang selama ini merasakan negara haram Israel adalah punca segala masalah yang berlaku di Asia Barat.

Selain daripada itu, pada awalnya ramai penganalisa geopolitik dunia termasuk dari negara-negara Barat merasa skeptikal terhadap sidang kemuncak antara Rusia, Iran dan Turkiye terutamanya berkenaan isu kumpulan pengganas di utara Syria yang menjadi pertikaian antara Syria dan Turkiye akan berhasil. Keputusan Turkiye untuk meneruskan operasi ketenteraan di sempadan Turkiye-Syria di utara Syria menambahkan lagi komplikasi hubungan kedua-dua negara yang mungkin menggagalkan sidang kemuncak tersebut.

Namun akhirnya andaian tersebut salah dengan terhasilnya kesepakatan dan kerjasama antara Rusia, Iran dan Turkiye untuk sama-sama menghapuskan kumpulan pengganas di sempadan Syria – Turkiye terutamanya di utara Syria. Terbaharu, Menteri Luar Turkiye Mevlut Cavusoglu menyatakan bahawa Turkiye akan memberikan segala bentuk sokongan terhadap Syria dalam usaha untuk menghapuskan kumpulan pengganas di sempadan Syria – Turkiye terutamanya di utara Syria.

Namun minggu lalu Turkiye berhadapan dengan tuduhan melakukan serangan ke atas sebuah pusat peranginan di Zakho, sebuah bandar di wilayah autonomi Kurdish di Iraq yang telah menyebabkan 9 kematian dan 23 orang cedera. Kerajaan Iraq mengecam Turkiye yang dituduh melakukan serangan tersebut namun Syria juga turut terpalit di atas serangan tersebut.

Turkiye menafikan melakukannya dan mendakwa serangan tersebut dilakukan oleh kumpulan militia YPG / PKK. Beberapa hari lalu, Konsulat Turkiye di Mosul, Iraq berhadapan dengan serangan mortar berkemungkinan tindakbalas ke atas serangan di Zakho. Berdasarkan keadaan semasa, ada kemungkinan tuduhan yang dilemparkan ke atas Turkiye mahupun Syria adalah usaha untuk meleraikan kerjasama antara Turkiye dan Syria termasuk menggagalkan keputusan yang dicapai dalam sidang kemuncak lalu, menunjukkan kelemahan Rusia dan “memangsakan“ Iraq.

Terkini, semua petanda menunjukkan bahawa negara-negara di Asia Barat telah mula condong ke arah Rusia mahupun China. Lawatan Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov ke Mesir menemui Presiden Mesir Abdel Fattah Al Sisi, menemui pemimpin negara-negara Arab dan menyampaikan ucaptama di persidangan Liga Arab minggu lalu mengesahkan lagi kecenderungan negara-negara Asia Barat ke arah Rusia mahupun China. Semua petanda-petanda ini sudah tentunya meresahkan Barat terutamanya Amerika Syarikat dan khususnya negara haram Israel.

Berdasarkan situasi terkini di Laut China Selatan dan Asia Pasifik, Asia Tengah serta pertelagahan terbaharu di kalangan negara – negara Kesatuan Eropah berkenaan catuan bekalan gas untuk “menyelamatkan“ Jerman, berkemungkinan “order baharu dunia“ yang diasaskan Amerika Syarikat dan Barat bakal berakhir tidak lama lagi yang memungkinkan negara haram Israel “kehilangan“ pelindung yang selama ini melindunginya daripada sebarang kemungkinan yang mampu meranapkan negara haram tersebut.

Apa sekalipun Dunia Islam harus sedar bahawa akhirnya Dunia Islam sendiri perlu “berdiri diatas kaki sendiri“ dalam usaha untuk memulihkan reputasi dan maruah yang sekian lama tercalar.

Dunia Islam perlu sedar dan bangkit dari lamunan bahawa kebergantungan kepada mana-mana pihak tidak menguntungkan umat Islam kerana hanya Dunia Islam sahaja yang mampu mengembalikan kegemilangan dan sinar Islam di muka bumi ini yang mampu mengangkat kembali Islam yang kelam sejak sekian lama.

Semoga Allah SWT memakbulkan doa kita semua, Islam kembali gemilang dan Palestin akhirnya bebas dari cengkaman regim zionis Israel.

Islam Menyatukan Ummah

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 6/8/2022