Soalan Nik Amar mudah tapi sukar dijawab

BILA hampir PRU, maka timbullah beberapa ketul penggerak agenda untuk menukar Kerajaan PAS Kelantan. Perkara ini tidak pelik, kerana sejak 30 tahun, itulah usaha dilakukan musuh PAS. 

Menariknya, kali ini agenda ini dibuat seolah-olah datang daripada netizen dan NGO. 

Sedangkan kita tahu bila melihat pemuka-pemukanya adalah dari kalangan orang politik jua. Cuma lucunya, mereka nampak seperti malu-malu nak mengaku dari parti politik disertai.

Tetapi sifat pemalu mereka ini bukan sebarangan, kerana yang dibawa adalah naratif tukar kerajaan. Tanpa dinyatakan tukar kepada siapa. 

Lebih menarik, persoalan Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, “Nak tukar PAS di Kelantan nak buwi pada siapa?”

Persoalan ini menjadi persoalan yang sukar dijawab. Walhal boleh sahaja dijawab dengan menyebut nama-nama parti yang wujud di Kelantan. Tapi aneh ianya tidak terjawab!

Soalannya tidaklah sukar sebenarnya, namun jawapannya memeritkan. Jika dijawab satu parti ini, maka dibangkit lawak besar, takkan nak bagi pada mereka yang mungkir janji manifesto, bual sajo?

Jika dijawab satu lagi parti, maka lebih merengsa dada kelucuan, tak malu ke nak pilih parti yang ramai pemimpin utamanya didakwa di mahkamah atas sebab penyelewengan. Integriti ni maruah orang Kelate

Mungkin inilah juga punca kenapa agenda tukar PAS ini digerakkan bukan dengan logo parti. Kerana mereka pun tahu malu, lalu berkelambu dengan imej NGO kononnya.

Jika mereka pun malu gunakan logo mereka, takkan kita pula nak terhegeh-hegeh pangkah mereka?

Jadi, tinggallah persoalan Nik Amar ini tanpa jawapan yang konkrit. Jika tiada jawapan, maka apakah faedah agenda politik nak tukar PAS di Kelantan?

Dapat ke puak itu, nanti kena tipu dan mungkir janji pula. Dapat ke satu lagi, tak pasal silap hari bulan ada wakil Kelantan masuk penjara.

Sebab itu tak pelik musuh politik tak senang duduk dengan orang seperti Nik Amar, soalan dan buah kilas beliau buatkan musuh politik terdiam dan ternganga. 

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 5/8/2022

Advertisement