Perkuat ikatan jemaah, perkukuh penyatuan ummah

- Advertisement -

TAMBUN: Agenda penyatuan ummah terus menjadi keutamaan kerana PAS ketika ini bukan hanya berdepan musuh politik, tetapi musuh Islam dalam dan luar negara yang sentiasa merancang perpecahan umat Islam. 

ADUN Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Tambun Kali Ke-36 di Dewan Mahligai Harmoni, Ulu Chemor di sini baru-baru ini.

“Kalau kita baca analisa yang dibuat tentang kekuatan parti kita ini, paling kurang kita memiliki empat kekuatan PAS, yang pertama dasar perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

“Kekuatan yang kedua yang kita ada, adalah Ulamak yang menjadi teras, yang ketiga adalah ahli yang ikhlas, istiqamah dan taat kepada kepimpinan. Keempat iaitu manhaj tarbiyah yang kita ada untuk memastikan kita terus istiqamah,” ujar beliau.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Kedah turut berpesan agar memahami bahawa hijrah berlaku dengan ikhtiar yang dipandu oleh Allah SWT serta sudah tentu ada ujian dan cabaran dalam memperjuang agama Islam.

Sehubungan itu katanya, sebarang ikhtiar dilakukan mestilah kembali kepada Allah SWT termasuklah memperkuat ikatan sesama ahli dan pimpinan PAS. 

Hal tersebut menurutnya, agar dapat mengekalkan kekuatan jemaah di samping memperkukuh usaha menyatukan ummah melibatkan parti Melayu Islam dan parti lainnya yang tidak ekstrem.

Dalam majlis yang sama, beliau turut menyampaikan anugerah kepada lima orang penerima termasuklah mantan Ketua Cawangan, Almarhum Abdul Halim Ramli dan mantan Naib Ketua Cawangan, Almarhum Shafian Abd Rahman yang kembali kerahmatullah Februari dan Mac lalu.

Kedua-duanya begitu banyak jasa dan sumbangan yang dicurahkan sehingga akhir hayat mereka kepada PAS Cawangan Kampung Cik Zainal khususnya dan PAS Kawasan Tambun umumnya. 

Sementara tiga orang lagi penerima adalah Muid Abu Bakar diberikan Anugerah Tokoh Pendakwah Mithali Parlimen Tambun, Ustazah Rafiah Anjang mendapat Anugerah Ikon Pendakwah Muslimah Parlimen Tambun dan Muhammad Suhaidi Mahuddin dinobatkan Anugerah Anak Muda Berdaya Maju Parlimen Tambun.

PAS Kawasan Tambun yang sudah berusia 36 tahun ditubuhkan di Chemor terus mengorak langkah dan berjaya menambah 15 cawangan baharu dalam masa 2 tahun menjadikan 51 buah cawangan kini.

Turut hadir dalam majlis perasmian MAT Tambun, Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Tambun, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh bersama tiga orang lagi pimpinan BERSATU Bahagian Tambun. – HARAKAHDAILY 5/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -