Kejayaan raih gangsa bukti Shah Firdaus ke fasa lebih baik

Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kejayaan pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom meraih gangsa di Sukan Komanwel Birmingham 2022 merupakan ‘bukti’ pelumba berusia 26 tahun itu telah beralih ke fasa lebih baik.

Jaguh berbasikal negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang berkata dengan prestasi yang ditunjukkan, atlet kelahiran Muar itu mampu membuat kejutan di pentas Olimpik Paris 2024 akan datang.

- Advertisement -

“Kejayaan di Birmingham baru-baru ini menunjukkan beliau sudah beralih dari fasa buah putik kepada fasa buah yang masak ranum. Kita semua dapat melihat kemampuan Muhammad Shah di pentas antarabangsa.

“Pencapaian itu juga memberikan jawapan kepada ramai pihak yang sebelum ini tertanya-tanya siapa bakal menjadi pelapis bagi sukan berbasikal negara,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata temasya Sukan Komanwel merupakan pentas yang mempunyai tahap kompetitif sangat tinggi dan bukan mudah bagi Muhammad Shah meraih pingat berkenaan.

Mohd Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The PocketRocketman itu, pada masa sama turut mengucapkan tahniah atas kejayaan Muhammad Shah meraih pingat berkenaan pada 30 Julai lepas.

Penantian pelumba berbasikal trek negara selama lapan tahun untuk menang pingat acara keirin pada temasya Sukan Komanwel akhirnya berakhir pada edisi ke-22 apabila Muhammad Shah meraih gangsa di pentas berprestij itu.

Kali terakhir Malaysia menaiki podium bagi acara itu adalah melalui Mohd Azizulhasni apabila memenangi pingat gangsa di Glasgow, Scotland pada 2014.

Josiah Ng merupakan pelumba negara terakhir merangkul pingat emas di New Delhi pada 2010. – BERNAMA

- Advertisement -