Kebakaran kecil di HTAA, operasi tidak terjejas

Dr Nor Azimi Yunus
- Advertisement -

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Pahang mengesahkan berlaku kebakaran kecil di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada 12 tengah hari tadi, namun berjaya dikawal petugas dan tidak melibatkan kemalangan atau kecederaan.

Pengarahnya Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata kejadian melibatkan papan suis utama di blok bangunan bersebelahan bangunan unit sajian hospital itu telah menjejaskan bekalan elektrik kepada sistem perubatan termasuk sistem penyaman udara dan hampagas di blok utama hospital.

- Advertisement -

“Bagaimanapun, sistem bekalan oksigen dan bekalan umum seperti lampu, kipas dan telefon tidak terjejas. Pihak hospital dengan kerjasama syarikat konsesi dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah melaksanakan pelan pemulihan dengan segera.

Hampir keseluruhan sistem yang terjejas telah dapat dipulihkan pada pukul 8 malam tadi dan hanya sistem hampagas yang masih dalam proses pemulihan yang dijangka pulih sepenuhnya menjelang tengah malam ini,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Dr Nor Azimi juga memaklumkan bahawa operasi di wad, dewan bedah dan Unit Rawatan Rapi (ICU) berjalan seperti biasa tanpa perlu melakukan pemindahan pesakit.

Pasukan Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang juga menurut beliau, masih melakukan pemeriksaan dan siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran. – BERNAMA

- Advertisement -