Jangan hidupkan kembali politik lapuk kuno di Kelantan

Hubungan Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Persekutuan mesti berdiri atas semangat Federalisma

- Advertisement -

MINTA maaf sebut, bila tengok program ‘Bekwoh Keluarga Malaysia Rakyat Tumpat’ berasa risau akan kembalinya tragedi politik lampau.

Program Kerajaan Persekutuan, tapi tidak melalui Kerajaan Negeri. Berpuluh tahun Kerajaan Kelantan diperlakukan sedemikian dahulunya. Kita tidak terkejut namun sedikit ralat. 

Setelah wujudnya Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional barulah kita dapat lihat keharmonian antara program Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. 

Semangat Federalisma yang ada dalam Perlembagaan baharu sahaja mahu dipulihkan. Namun melihat program Bekwoh ini yang kita tahu ditunjangi parti politik di sebaliknya, hati agak terkedu. 

Masihkan budaya politik lapuk dan kuno mahu dihidupkan kembali di Kelantan? Apakah hubungan tegang antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri mahu dibina semula?

Apa salahnya program Kerajaan Persekutuan turut melibatkan Kerajaan Negeri. Bukankah PAS juga sebahagian kerajaan di Persekutuan. 

Secara umumnya, kita tidak kisah sangat dengan penganjuran ini. Namun, memikirkan akan kembali hidup hantu politik mengenepikan Kerajaan Negeri buatkan hati tidak senang. 

Kepada Menteri yang berkenaan, apakah budaya politik mengenepikan Kerajaan Negeri dalam program-program Kerajaan Pusat di Kelantan akan dihidupkan kembali? 

Bukankah di Kerajaan Negeri telah berikan peruntukan kepada ADUN bukan kerajaan dan peruntukan kepada pegawai penyelaras kerajaan telah dihentikan untuk menunjukkan kebersamaan. 

Anda sangka dengan anjurkan program sebegini rakyat akan menyokong, ironinya ia akan menoreh kembali parut lama.

ANAS KARIMI AHMAD THANI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 5/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -