Cacat kedua-dua kaki tidak halang penghulu bantu rakyat

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Biarpun kedua-dua jari kaki dipotong kerana penyakit kencing manis, namun Penghulu Mukim Pak Badol masih mampu melaksanakan tugasnya.

Che Husin Che Man, 59 mengakui tugasnya sebagai penghulu tidak pernah pudar meskipun sekarang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

Jari kaki kanannya dipotong pada 2018 manakala jari kaki kiri pula dikerat pada 2021, bagaimana pun beliau bersyukur kerana pimpinan dan sahabat sentiasa memberi sokongan.

- Advertisement -

“Sekarang untuk bergerak ke sana sini saya minta bantuan isteri dan anak-anak. Saya juga sering berhubung dengan telefon kalau tidak sempat hadir mesyuarat termasuk di Pejabat PAS Bachok dan Dun Jelawat.

“Kecacatan ini tidak halang langsung, pemimpin kerajaan negeri termasuk Dato’ Mumtaz Md Nawi pernah datang melawat dan memberi kata-kata semangat menghadapi perjuangan sekarang,” kata beliau ketika ditemui semalam.

Beliau ditemui ketika diziarahi Adun Jelawat Abdul Azziz Kadir di kediamannya di Kampung Pak Badol.

Sebelum ini Ahli Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Abdul Aziz menyumbang sebuah motosikal roda tiga menggunakan tenaga elektrik bagi memudahkan pergerakannya.

“Dengan adanya motosikal roda tiga memudahkan lagi pergerakan saya melawat anak mukim yang mengalami kesusahan atau memerlukan bantuan.

“Kalau hari hujan ada ahli jemaah surau datang ambil di rumah untuk pergi solat berjemaah kerana kenderaan tersebut tidak boleh diguna ketika hujan,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2022

- Advertisement -