Batalkan PTP dan CLQ di Kepala Batas

LATAS PAS Pulau Pinang menyokong hasrat kerajaan negeri untuk tidak meneruskan cadangan projek Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) di samping menggesa supaya Projek Taman Perindustrian (Penang Technology Park- PTP) Ringan dan Sederhana Pulau Pinang, Bertam yang dicadangkan juga tidak diteruskan.

Petisyen sebanyak 1,662 tandatangan penduduk yang telah dihantar kepada beberapa agensi bertanggungjawab jelas mendesak supaya kedua-duanya perlu dibatalkan serentak.

LATAS merakamkan ucapan tahniah atas komitmen gigih badan bertindak dan gabungan penduduk Bertam dalam memastikan pembangunan lestari dan bandar berdaya huni yang baik diutamakan seiring dengan pertumbuhan penduduk sedia ada.

Tindakan pemaju yang pernah memulakan kerja tanpa EIA sebelum ini amat menimbulkan keraguan . Justeru, apakah jaminan cadangan CLQ tidak timbul kembali setelah PTP berindustri ringan dan sederhana diwujudkan?

Bagi memastikan kesejahteraan hidup penduduk-penduduk setempat, masih belum terlambat bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memperbetul keadaan dengan turut tidak meneruskan cadangan PTP berindustri ringan dan sederhana ini.

LATAS akan sentiasa mengikut rapat isu ini demi kesejahteraan penduduk Pulau Pinang. Sekian, terima kasih.

“Islam Menyatukan Ummah”

MD SAIFUL LIZAN YUSOFF
Pengerusi, Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 5/8/2022

Advertisement