Adun bantu pemuda terjebak gejala sosial ke pusat pemulihan

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Tugas wakil rakyat bukan sekadar membantu rakyat yang ditimpa kesusahan, sebaliknya turut berusaha menghantar belia yang terbabit gejala sosial ke pusat pemulihan.

Adun Jelawat dengan kerjasama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menghantar dua beradik yang menjadikan bawah jambatan di Kampung Kubang Telaga sebagai tempat tinggalnya ke pusat pemulihan dadah.

Abdul Azziz Kadir berkata, persetujuan itu dicapai dengan Kerjasama pegawai agensi terbabit dan keluarga mereka.

Advertisement

Katanya, dua beradik terbabit di mana keluarga mereka berasal dari Jabi Terengganu tinggal di bawah jambatan alasan ingin berdikari.

“Mereka nekad tinggal di bawah jambatan. Siang hari mereka pergi kerja, balik makan di rumah dan pada malam duduk bawah jambatan.

“Menurut Penghulu Kubang Telaga mereka juga pernah bekerja di sebuah kedai potong kereta, tetapi sering hilang, mungkin terbabit pengaruh dadah,” katanya ketika ditemui semalam.

Adun Jelawat ditemui ketika menziarahi kedua-dua beradik terbabit di sebuah enap desa di Kampung Kubang Telaga dan berjumpa bapa serta ibu tiri mereka.

Pemuda terbabit berusia 25 dan 27 tahun difahamkan bertindak sedemikian selepas kematian ibu kandung, manakala ayahnya pula berkahwin lain dan tinggal bersama isterinya.

Baru-baru ini kisah dua pemuda terbabit tular di media sosial selepas dimuat turun sebuah NGO.

Pemuda tersebut mempunyai lapan adik beradik, di mana tiga daripadanya sudah meninggal dunia hasil perkahwinan bapanya bersama wanita Thailand.

Salah seorang dipelihara emak saudara di selatan Thailand, seorang sudah mendirikan rumahtangga dan tiga lagi tinggal bersama keluarga terbabit.

Abdul Azziz juga berkata, usaha menghantar dua beradik ke pusat pemulihan diharap dapat memberi sinar baharu kepada masa hadapan mereka. – HARAKAHDAILY 5/8/2022