Yayasan Peneraju terus tingkat kualiti modal insan Bumiputera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) akan meneruskan mandat meningkatkan kualiti, kuantiti dan keberkesanan modal insan Bumiputera supaya mereka mampu menempatkan diri dalam industri dan pasaran kerja berpendapatan tinggi.

Yayasan Peneraju dalam kenyataannya hari ini memaklumkan sejak 10 tahun penubuhannya, ia berjaya membangunkan hampir 50,000 modal insan Bumiputera melalui lebih 370 program.

- Advertisement -

“Untuk 2022, Yayasan Peneraju sasar melahirkan seramai 8,400 penerima faedah future proof baharu melalui 180 program pembangunan dalam lima teras utama iaitu Peneraju Tunas, Peneraju Skil, Peneraju Profesional, Peneraju Teknologi dan Peneraju Spesialis.

“Kumpulan sasaran penerima termasuk golongan lepasan sekolah sehingga bekerja dan tidak bekerja, kumpulan B40, M40, luar bandar dan kumpulan terpinggir.

“Antara sektor pembiayaan adalah dalam industri automotif, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), kejuruteraan, kewangan, maritim, minyak dan gas, pendidikan, penjagaan kesihatan, perakaunan dan telekomunikasi,” menurut Yayasan Peneraju.

Dalam pada itu, Yayasan Peneraju turut memperkenalkan program khas iaitu Peneraju Profesional Training Initiative with Industry (PERTIwI) yang memberikan pendedahan dan pengalaman bekerja di luar negara kepada penerima faedah sedia ada.

Yayasan Peneraju berharap lebih ramai modal insan bumiputera akan turut serta dan menjadi sebahagian daripada 50,000 penerima faedah Yayasan Peneraju yang lain melalui usaha berterusan itu. – BERNAMA

- Advertisement -