Tiada keperluan isytihar darurat iklim

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man 

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kerajaan berpandangan bahawa tiada keperluan ketika ini untuk mengisytiharkan darurat iklim.

Namun, katanya kerajaan sentiasa memantau secara dekat segala program atau aktiviti berkaitan mitigasi untuk memastikan tiada peningkatan suhu yang ketara.

Advertisement

Menurutnya, negara akan terus memberi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) merentas ekonomi sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar pada tahun 2030 berbanding tahapnya pada tahun 2005.

“Malah, pengurangan intensiti itu dibuat tanpa syarat dan 10 peratus lebih tinggi daripada sasaran sebelum ini. Malaysia juga menyatakan aspirasi untuk mencapai pelepasan GHG bersih sifar seawal-awalnya pada 2050,” katanya ketika Sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) yang meminta Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menjelaskan pendirian kerajaan dalam mengisytiharkan darurat iklim di negara ini dalam menghadkan pemanasan global.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata, antara program dan inisiatif yang dilaksanakan ialah dasar ‘carbon pricing’ secara berfasa untuk menyokong usaha negara mengurangkan pelepasan GHG.

Katanya, kerajaan juga berusaha mencapai kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu sebanyak 31 peratus pada 2025 dan 40 peratus pada 2035 bagi grid kebangsaan melalui Pelan Peralihan Tenaga Mal”aysia 2021-2040.

“Usaha lain ialah aspirasi sasaran perolehan 100 peratus kenderaan kerajaan yang bukan berasaskan enjin pembakaran dalaman pada tahun 2030.

“Kerajaan juga mengekalkan litupan kawasan berhutan melebihi 50 peratus selaras dengan komitmen negara ketika Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992 dengan keluasan hutan pada tahun 2018 adalah 18,273,487 hektar, iaitu bersamaan 55.3 peratus daripada keluasan tanah negara,” katanya.

Melalui Program Penghijauan Malaysia, katanya Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bermula tahun 2021 hingga 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dengan peruntukan sebanyak RM25 juta dan setakat 6 Julai lalu, sebanyak 35.38 juta pokok berjaya ditanam.

Tuan Ibrahim berkata, kerajaan berusaha mencapai sasaran sifar sisa yang dihantar ke tempat pelupusan sampah melalui konsep sisa kepada tenaga dan meningkatkan kadar kitar semula kepada 40 peratus pada 2025.

Selain itu, katanya transformasi bandar di negara ini dilakukan ke arah pembangunan rendah karbon di bawah Pelan Induk Bandar Rendah Karbon serta meningkatkan ketahanan terhadap impak jangka masa panjang perubahan iklim melalui pembangunan Pelan Adaptasi Kebangsaan.

Menurutnya, KASA turut mengukuhkan tadbir urus perubahan iklim negara melalui pembentukan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MyCAC).

“Keputusan dasar berkaitan perubahan iklim seperti pematuhan komitmen perubahan iklim negara di peringkat antarabangsa juga akan diputuskan oleh Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/8/22