Pindaan Akta 709 tangani isu ceroboh data peribadi

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) sebagai langkah menangani isu pencerobohan data peribadi yang dijangka dibentangkan di Parlimen, Oktober ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata cadangan pindaan itu dibawa ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut pada 28 Jun lalu.

- Advertisement -

Katanya, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) merekodkan hampir 120,269,000 kes ketirisan data peribadi dan cadangan pindaan Akta 709 itu akan mewujudkan dasar pemindahan data yang lebih kukuh dan dinamik.

“Sebagai contoh melalui penggunaan instrumen baharu seperti pelantikan pegawai perlindungan data peribadi dan notifikasi ketirisan data,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) pada Sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir

Menurut Annuar, antara cadangan pindaan adalah mewajibkan semua pengguna data melantik data pegawai perlindungan dan memperkenalkan pemberitahuan pelanggaran data.

Katanya, pemberitahuan pelanggaran data akan mewajibkan pengguna melaporkan kebocoran data kepada Pesuruhjaya JPDP dalam tempoh 72 jam.

Selain itu, katanya pindaan Akta 709 akan mewajibkan pemproses data mematuhi prinsip keselamatan di bawah Akta 709 dan membenarkan pemindahan data peribadi antara pengguna data atas permintaan subjek data sekiranya sistem teknikal membenarkannya,” katanya.

Menurutnya, pindaan itu juga melibatkan pemansuhan penentuan senarai tempat rentas sempadan, menggantikan senarai tempat ataupun ‘whitelist’ dengan senarai hitam bagi pemindahan data peribadi rentas sempadan.

“Sebaik sahaja menerima maklum balas atau draf akhir daripada Jabatan Peguam Negara, suatu kertas memorandum jemaah menteri akan disediakan.

“K-KOMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) komited untuk membentangkan cadangan Akta 709 ini dalam sesi Parlimen akan datang, pada Oktober,” katanya.

Jelasnya, Akta 709 hanya melibatkan transasksi komersial dan tidak membabitkan transaksi di bawah jabatan dan kementerian kerajaan. – HARAKAHDAILY 4/8/2022

- Advertisement -