Penganjur Minggu Fesyen Kedah dinasihat patuhi syarat

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Penganjur Minggu Fesyen Kedah atau Kedah Fashion Week 2022 (KFW22) dinasihatkan agar mematuhi peraturan serta syarat-syarat melalui kelulusan lesen hiburan yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Kota Setar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, sewajarnya pakaian yang diperagakan mestilah sopan serta tidak menjolok mata.

Advertisement

“Walaupun pertunjukan fesyen antara acara yang dibenarkan di dalam Enekmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997 namun diharapkan pakaian yang diperagakan mestilah sopan bersesuaian dengan budaya timur,” jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Memetik laporan sebuah media tempatan 9 Julai lalu, KFW22 akan diadakan di pusat membeli belah, Aman Central bermula esok.

KFW22 akan menampilkan beberapa pereka serta jenama tempatan dan antarabangsa, antaranya  ICAHFA, Qaira Hijab, Fana Couture, Carl Rino, HLA, Parkson, NUWAY, Teva, Birkenstock STUDIO, Steve Madden dan Swarovski.

Dalam masa yang sama, Hayati juga menjelaskan, Kedah Fashion Week berkenaan di luar bidang kuasa pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) manakala urusan kebenaran dan lesen dikeluarkan oleh pejabat daerah.

MBAS ujarnya hanya menjalankan tugas-tugas pemantauan untuk memastikan syarat serta peraturan yang ditetapkan dipatuhi pihak penganjur. – HARAKAHDAILY 4/8/2022