MamaCare jana pendapatan RM60 juta

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Program MamaCare berjaya menjana pendapatan sebanyak RM60 juta sejak penubuhannya pada 2012.

Program itu juga berjaya melahirkan seramai 1,431 wanita terlatih dalam industri penjagaan ibu selepas bersalin berteraskan kaedah tradisional Melayu.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata MamaCare adalah antara program di bawah kementeriannya untuk memperkasakan ekonomi wanita.

“Bagi tempoh antara Januari hingga Jun tahun lalu, jumlah pendapatan yang dijana melalui pengamal MamaCare seluruh negara adalah sebanyak RM4.05 juta,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Siti Zailah, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan pelbagai program dan aktivti untuk memperkasakan ekonomi wanita.

Katanya, antara program berkenaan ialah Program Karnival wanita Bangkit KPWKM yang memberi manfaat kepada 11,000 wanita seluruh negara dan Program MyKasih Kapital yang menyediakan bantuan asas modal perniagaan sebanyak RM500.

Katanya, MyKasih Kapital membantu 10,496 wanita bermula April tahun lalu sehingga Julai tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM5.24 juta.

“Selain itu, Program Pemerkasaan Wanita 4K (Kesamaan, Kepimpinan, Kewangan, Keseimbangan, dan Kemahiran) yang memanfaatkan 3.49 juta peserta dan melibatkan 857 program seluruh negara.

“2 Years Exit Program (2YEP) pula membantu penerima bantuan kebajikan hidup berdikari dan tidak bergantung terus kepada bantuan bulanan kebajikan,” katanya.

Sejak 2016, katanya 2YEP berjaya mengeluarkan seramai 1,502 peserta daripada penerima bantuan bulanan kebajikan.

Menurutnya, KPWKM juga kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui Program Keusahawanan MATA dan Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNita).

Katanya, kolaberasi juga dibuat bersama Kementerian Keusahawanan dan Koperasi (MEDAC) di bawah PENJANA untuk Bantuan Khas Ibu Tunggal yang memberi manfaat kepada 150,000 ibu tunggal layak seluruh negara. – HARAKAHDAILY 4/8/2022