LVG wujudkan perniagaan dalam talian lebih adil

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai jualan ke atas barangan import bernilai rendah (LVG) yang dibeli menerusi dalam talian akan melahirkan persaingan lebih adil antara penjual tempatan dan luar negara.

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, berkata pengguna juga akan menyaksikan jurang harga produk yang lebih rapat antara barangan dari luar negara dan tempatan.

- Advertisement -

Bagaimanapun, beliau berharap supaya kadar cukai yang dikenakan, iaitu sebanyak 10 peratus dapat dikurangkan.

“Saya berharap kadar cukai ini dapat dikurangkan dengan mengambil kira kos modal dan penghantaran agak mahal yang terpaksa ditanggung oleh pengguna, ditambah pula cukai jualan.

“Diharap dengan penurunan kadar cukai daripada 10 peratus kepada angka yang lebih rendah dapat merancakkan lagi aktiviti jualan dan menjana ekonomi negara dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Sabri, Singapura dilihat lebih proaktif dalam pelaksanaan LVG dengan mempunyai dokumen tatacara memungut cukai berkenaan sejak 30 Julai tahun lalu dengan kadar tujuh peratus ke atas barangan bernilai melebihi Dolar Singapura 400.

Selain itu, Sabri mencadangkan supaya Pindaan RUU Akta Cukai Jualan dapat dilaksanakan dengan lebih efektif memandangkan ia diperlukan sebagai pendapatan negara.

Tindakan itu, katanya secara tidak langsung akan membolehkan kerajaan memenuhi keperluan sosial rakyat seperti infrastuktur kesihatan, pendidikan, pertumbuhan industri, dan keperluan sekuriti.

Beliau juga berharap pelaksanaan LVG merancakkan ekonomi negara selain membantu kerajaan menggunakan cukai itu dalam bentuk yang menguntungkan rakyat. – HARAKAHDAILY 4/8/2022

- Advertisement -