Kontroversi penyanyi Lubnan ‘alun’ lagu pro-Hizbullah di Israel

Julia Boutros sudah banyak muncul dengan lagu-lagu yang memuliakan perjuangan Hizbullah menentang pengaruh zionis Israel di Lubnan. (FOTO Getty Images)
- Advertisement -

ARRABA, Israel: Penyanyi tersohor Lubnan, Julia Boutros telah menimbulkan kekecohan di Israel selepas salah satu lagunya dimainkan pada sebuah festival yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Boutros terkenal dengan sokongannya terhadap organisasi Hizbullah yang diketahui terbabit dalam konflik memerangi pengaruh zionis Israel di Lubnan. 

- Advertisement -

Lagu dendangan Boustros yang memuliakan Hizbullah dan pejuangnya dalam perang menentang Israel pada tahun 2006, dilaporkan dimainkan pada Festival Batoufna di sini pada awal Julai lalu, lapor The New Arab.

Pekan berkenaan yang juga dikenali sebagai Arrabat al-Battuf itu dihuni majoritinya oleh rakyat Palestin dengan kewarganegaraan Israel.

Media Israel yang ‘kecoh’ berkata bahawa ‘isyarat  jelas daripada penyanyi Lubnan, Julia Boutros, yang terkenal dengan sokongannya kepada Hizbullah, malah dalam sebahagian lagunya menyatakan simpatinya kepada organisasi itu dan ketuanya, Sheikh Hassan Nasrallah’.

Dalam lagu berjudul Aaba Majdak, Boutros menyanyikan antara liriknya yang berbunyi: “Kemuliaanmu telah dimalukan dengan penghinaan dan kekalahan, apabila selatan (Lubnan) bangkit untuk menentang”.

Sehubungan itu, media Israel dengan lantang menyelar ia sebagai ‘lagu yang mengagungkan perjuangan Hizbullah’.

Israel dan Hizbullah yang disokong Iran berperang selama sebulan pada musim panas 2006, yang mana kemenangan berpihak kepada Hizbullah dengan pemimpinnya, Hassan Nasrallah, berkata dalam ucapan di televisyen pada Selasa bahawa perang itu adalah ‘paling sukar yang pernah kami alami’. 

“Kata-kata ini mewakili visi penyokong Hizbullah. Menurut mereka, tentera Israel telah dimalukan oleh organisasi itu dalam Perang Lubnan Kedua,” ulas media Israel merujuk kepada perang 2006.

Media Israel  juga menyatakan bahawa imej kereta kebal Israel yang musnah dipaparkan semasa konsert oleh Boutros di bandar pesisir selatan Lubnan, Tire – di mana Hizbullah mempunyai pangkalan sokongan yang besar.

Menteri Kebudayaan dan Sukan Israel, Chili Tropper sehubugan itu menyatakan kekesalan atas kejadian itu, berkata kementeriannya tidak mengetahui program festival itu.

“Festival itu tidak diadakan dengan pengetahuan dan kelulusan kementerian, sebaliknya melalui program kebudayaan perbandaran (berasingan)…yang merupakan bajet tetap yang dipindahkan daripada kementerian kepada semua pihak berkuasa tempatan di Israel.

“Kementerian tidak campur tangan dalam kandungan perayaan yang diadakan di lebih 250 pihak berkuasa tempatan,” katanya

Sementara, Datuk Bandar Arraba, Omar Nassar berkata, lagu-lagu yang dimainkan pada festival itu tiada kaitan dengan Hizbullah, menjelaskan bahawa salah satu persembahan di situ memilih untuk memainkan lagu berunsur politik oleh Julia Boutros.

Boutros yang berasal dari selatan Lubnan merupakan isteri ahli politik Lubnan, Elias Bou  Saab, sebelum ini sudah banyak menyanyikan lagu yang menyokong perjuangan Hizbullah, khususnya di Lubnan. – HARAKAHDAILY 4/8/2022

- Advertisement -