Kes terowong: Saksi mengaku menipu pada sidang media

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seorang saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng membabitkan pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang, mengaku di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau menipu pada sidang media apabila mengatakan tiada elemen rasuah dalam pembinaan terowong itu.

Pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 62, berkata beliau berbuat demikian selepas disuruh oleh Lim agar tidak mengaitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam kes rasuah.

Ditanya peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim, saksi pendakwaan ke-23 itu mengaku bahawa beliau telah menipu wartawan, kerajaan Pulau Pinang, rakyat dan pegawai-pegawai syarikatnya semasa memberikan kenyataan media itu.

- Advertisement -

“Jika saya tidak disiasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya langsung tidak akan mengaitkan (kes ini) dengan YB Lim. Saya disuruh membuat kenyataan media itu (menipu) oleh Lim,” katanya dan menambah bahawa beliau ditahan reman oleh SPRM selama 11 hari pada Januari 2018 bagi membantu siasatan kes rasuah.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Gobind: Semasa sidang media itu, bukan ke Datuk Zarul cakap tiada elemen rasuah dalam kes terowong?

Zarul: Ya

Gobind: Adakah Datuk Zarul menukar balik kenyataan itu sekarang ini?

Zarul: Ya

Terdahulu, semasa dirujuk artikel bertajuk ‘It was like someone putting a gun to our heads’ yang disiarkan portal Free Malaysia Today pada 2 Julai 2018, mengenai perkembangan projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di negeri itu, Zarul berkata orang tengah yang dimaksudkan dalam artikel tersebut, adalah Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Artikel itu juga menyatakan mengenai ancaman daripada orang tengah yang mahukan wang perlindungan daripada Zarul selepas mendakwa beliau mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan Barisan Nasional (BN).

Zarul bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa individu yang mendakwa orang tengah itu ada pengaruh dalam kerajaan yang ketika itu di bawah kepimpinan Barisan Nasional dan perdana menteri pada masa itu ialah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kepada soalan Gobind, adakah Zarul memberikan wang kerana dikatakan Najib yang memerlukannya? saksi itu menjawab: “Ya”.

Lim, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Lim, juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok. –  BERNAMA

- Advertisement -