Kerajaan pastikan status UNESCO Tasik Chini dipertahankan

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan serius memastikan status Tasik Chini sebagai Tapak Rizab Biosfera pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) terus kekal.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) tahun ini, melaksanakan program pemulihan dan penghutanan semula sekitar kawasan Tasik Chini, termasuk dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal Chini.

- Advertisement -

Katanya, program itu mendapat peruntukan sebanyak RM800,000 di bawah inisiatif bajet Kumpulan Wang Covid-19 (KWC), Kementerian Kewangan Tahun 2022 – Pemerkasaan Komuniti dan Pemuliharaan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini.

Pada masa sama, katanya kerajaan Pahang mengambil inisiatif untuk menambah baik dan mengukuhkan pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini.

“Ini termasuk mengemas kini pengezonan bagi mengekalkan fungsi Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini, mewartakan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Chini, melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu, menghentikan aktiviti melombong dan mengukuhkan tadbir urus Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Fuziah Salleh (PH-Kuantan) ketika Sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika ini, Takiyuddin berkata, tiada operasi perlombongan dalam kawasan MAB Tasik Chini dan mengikut rekod Jabatan Mineral dan Geosains, hanya 3 pajakan melombong (ML) masih berkuat kuasa di dalam kawasan MAB Tasik Chini dengan satu projek luput pada September ini dan dua lagi pada September 2025.

Katanya, sebarang permohonan baharu atau penyambungan Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) bagi tapak perlombongan dalam kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini tidak dipertimbangkan.

“Ini berdasarkan dasar semasa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yang menggalakkan usaha membangunkan industri mineral, namun tidak akan menyokong dan mengeluarkan apa-apa SKSPM jika permohonan perlombongan adalah di atas tanah berstatus HSK atau rizab perlindungan dan kawasan yang diwartakan sebagai KSAS.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga mengeluarkan arahan pemberhentian kerja kepada semua aktiviti perlombongan pada 17 Mei 2021 dan masih berkuat kuasa sehingga ke hari ini.

Selain itu, katanya kerajaan negeri melaksanakan moratorium dengan menghentikan semua aktiviti perlombongan di sekitar Tasik Chini pada 17 Jun 2021 dan beberapa tindakan pencegahan diambil, termasuk memantau kualiti air Tasik Chini, penguatkuasaan arahan penyediaan laporan EIA, pewartaan rizab Hutan Simpan Chini dan memperluaskan Rizab Biosfera UNESCO.

“Kerajaan negeri juga menubuhkan Jawatankuasa Pemulihan Tasik Chini yang dianggotai JPNP, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (Pahang), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pejabat Tanah dan Galian Pahang.

“Dari segi tadbir urus, kerajaan Pahang menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Majlis Biodiversiti Pahang di bawah Enakmen Kerajaan Negeri bagi menguruskan dan menyelaras pelaksanaan pelan pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/8/22

- Advertisement -