Kenapa Melayu paling ramai muflis di Malaysia?

- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Solusi perlu dicari tentang kenapa wujud masalah muflis dalam kalangan rakyat di Malaysia, yang majoritinya adalah orang Melayu.

Penganalisis Sosio-ekonomi di Pusat Penyelidikan Strategik (PPS), Ahmad Fauzi Mustafa berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini bahawa orang Melayu paling ramai diisytiharkan muflis sejak tahun 2020 hingga Mei, 2022, membabitkan sebanyak 10,266 kes, diikuti kaum Cina (4,447 kes), India (1,321 kes), dan lain-lain (151). 

- Advertisement -

Selangor pula telah mencatatkan individu muflis tertinggi iaitu 4,164 kes dalam tempoh sama, diikuti oleh Wilayah Persekutuan dan Johor masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga dengan jumlah masing-masing 2,203 dan 1,987 kes.

Dalam kenyataan yang sama, Wan Junaidi turut memberitahu bahawa individu berusia antara 35 dan 44 tahun dikategorikan sebagai paling ramai muflis iaitu seramai 6,681 orang. 

Golongan lelaki merekodkan mencatat  kes muflis  tertinggi iaitu 12,970, berbanding hanya  4,607 kes membabitkan wanita dan 22 kes lagi tidak dapat dipastikan jantina.

Sehubungan itu Ahmad Fauzi berkata, pandemik Covid-19 yang melanda sejak awal tahun 2020 telah memberikan kesan ekonomi yang buruk dengan penurunan nilai mata wang Malaysia dan menyusutkan lagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, serta telah memberi kesan sosial yang besar kepada masyarakat Malaysia. 

Ekoran daripada penularan wabak Covid-19 yang mendadak itu menyebabkan ramai rakyat di Malaysia yang terkesan dengan wabak itu, yang mana ada sebahagiannya hilang pekerjaan, hilang punca pendapatan dan ada juga yang bertarung nyawa kerana dijangkiti virus Covid-19 sehingga menjejaskan punca pendapatan yang sedia ada.    

Beliau turut memberitahu, sepanjang tempoh dua tahun lebih itu ada sebahagian rakyat Malaysia yang sememangnya telah berada dalam kumpulan T20 telah memasuki kelompok M40. 

Semenatara, kelompok M40 pula ada juga yang tergolong dalam kelompok B40 dan seterusnya ada yang dikatakan jatuh teruk sehingga digelar muflis.  

Tambah beliau, faktor kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan serta syarikat atau perniagaan terpaksa gulung tikar ekoran wabak Covid-19 menyebabkan ada sebahagian masyarakat terutama kaum Melayu ini tidak mampu untuk bertahan. 

Oleh itu, mereka terpaksa menanggung beban hutang yang tinggi dan lama-kelamaan mereka ini terjerumus kepada kebangkraban atau muflis. 

Selain itu, keadaan ini juga diburukkan lagi dengan masalah stagflasi yang melanda  global termasuk Malaysia, ditambah pula kos sara hidup yang tinggi serta peningkatan harga makanan dan keperluan asas yang melonjak menyebabkan rakyat turut terbeban.  

“Stagflasi merujuk kepada tempoh pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan pengangguran yang tinggi (genangan) sementara kenaikan harga (inflasi). 

“Ia menimbulkan dilema untuk dasar ekonomi, kerana tindakan yang direka untuk menurunkan inflasi mungkin memburukkan lagi pengangguran, dan sebaliknya.“

Seseorang yang diisytiharkan muflis perlu memenuhi syarat-syarat berikut. Antaranya seseorang itu telah berhutang lebih RM50,000 dan tak mampu bayar lagi, gagal membayar hutang selama 6 bulan berturut-turut dan mereka juga telah menetap di Malaysia selama lebih setahun dalam tempoh berhutang.

Apabila mahkamah sudah mengeluarkan arahan muflis, semua aspek kewangan dalam kehidupan seseorang itu akan diatur oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI). 

MDI merupakan sebuah agensi kerajaan yang mengendalikan kes kebankrapan, kes penggulungan syarikat, pembatalan pendaftaran pertubuhan serta pembatalan kesatuan kerja.

Jabatan ini diketuai oleh satu jawatan statutori iaitu Ketua Pengarah Insolvensi atau dikenali juga sebagai KPI. 

Peranan yang dimainkan oleh MDI juga adalah mentadbir hal ehwal si berhutang dan si bankrap mengikut Akta Kebankrapan 1967 dan Kaedah-Kaedah Kebankrapan 1969.

Beliau berkata, Akta Insolvensi 1967 yang dikuatkuasakan pada Oktober 2017 lalu telah diteliti dan dikaji semula bagi membantu para penghutang dan pemiutang menyelesaikan segera urusan hutang dan tidak membebankan.

“Kerajaan telah membuat kajian undang-undang berkaitan dengan kebankrapan ini terutamanya yang terakhir melalui Akta Kebankrapan yang dipinda pada tahun 2017.

“Akta tersebut berkuatkuasa pada 6 Oktober 2017, ianya melibatkan kenaikan amaun minima daripada RM30,000 kepada RM50,000.

“Melalui pindaan ini juga, kerajaan telah memberi perlindungan jaminan kepada mereka yang bankrap berdasarkan kepada lunas undang-undang yang telah digariskan.” ujarnya. 

Ahmad Fauzi turut memberitahu agar orang ramai perlu meningkatkan kesedaran, ilmu pengetahuan dan kemahiran berkaitan pengurusan kewangan agar mereka tidak akan terjebak dengan muflis atau kebangkaraban. 

Selain itu, rakyat itu sendiri perlu memainkan peranan utama dengan mengamalkan gaya hidup sederhana mengikut kemampuan. 

“Rakyat perlu ubah gaya hidup dan jangan hanya mahu berseronok sahaja. Dalam al-Quran sendiri ada menyarankan umat manusia yang hidup di muka bumi Allah SWT perlu bersederhana dan berbelanja itu biarlah berhemah dan bijak,” ujarnya. 

Ahmad Fauzi turut memberi pandangan kepada individu yang diisytiharkan muflis, berkemungkinan mereka akan dikenakan moratorium yang bersesuaian bagi memudahkan mereka menyimpan untuk membayar secara berhemah.

“Malahan institusi bank perlu mengambil pendekatan janji bayar dengan mengenakan kaedah faedah yang rendah,” jelasnya.

Pihak bank juga, ujar beliau lagi, seharusnya memberikan alternatif berstruktur dari segi pembiayaan dan pemulihan kewangan yang interaktif kepada individu yang diisytihar muflis.

“Seterusnya, pemberian bantuan zakat juga disarankan agar dapat membantu golongan sedemikian mengikut kaedah yang tertentu dan munasabah,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/08/2022

- Advertisement -