Keluarga arwah Naira Ashraf saman hospital

Ibu kepada mangsa bunuh, Naira Ashraf ketika menghadiri sesi perbicaraan pertama terhadap Mohamed Adel, di Mahkamah Mansoura, kira-kira 145km di utara ibu negara Kaherah, Mesir pada 26 Jun 2022. (FOTO Getty Images)
- Advertisement -

KAHERAH: Keluarga arwah Naira Ashraf yang dibunuh kejam di pintu pagar kampus pengajian pada 20 Jun lalu bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah hospital susulan video mayat Ashraf yang kini tular kepada umum.

Ekoran kejadian tersebut, peguam keluarga Ashraf telah membuat laporan kepada ketua pendakwa raya, lapor The New Arab pada Rabu (3 Julai).

- Advertisement -

“Keluarga  Naira Ashraf kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap Hospital Besar Mansoura (yang menempatkan mayat  Naira di bilik mayat untuk disimpan sebelum bedah siasat), menuntut siasatan segera untuk mengenal pasti orang atau individu  di sebalik rakaman dan penularan video tersebut,” ujar laporan itu.

Ashraf telah dibunuh oleh rakan sekelasnya pada 20 Jun di luar kampus Universiti Mansoura di timur laut Mesir, pembunuhan yang telah mencetuskan kemarahan besar-besaran di Mesir dan menggariskan masalah keganasan yang mendalam terhadap wanita di negara itu.

Pembunuh Ashraf dikenali sebagai Mohamed Adel, mengaku menikam mangsa dan mengelar lehernya selepas gadis itu berulang kali menolak lamaran perkahwinannya.

Adel dijatuhi hukuman gantung sampai mati kira-kira dua minggu kemudian dalam perbicaraan terpantas dalam sejarah Mesir.

Keluarga Ashraf berkata, mereka amat terkejut melihat video yang dikongsi dalam talian itu menunjukkan kesan tikaman pada mayat mangsa yang tidak bertutup.

Naira Ashraf (kanan) meninggal dunia di pintu pagar Universiti Mansoura, Mesir selepas ditikam bertubi-tubi oleh Mohamed Adel (kiri) dalam kejadian pada 20 Jun 2022. (FOTO Middle East 24 News English)

Rakaman video berkenaan dikatakan telah dilakukan sebelum bedah siasat oleh seorang wanita berpakaian kot perubatan putih yang identitinya tidak didedahkan ditunjukkan dalam video itu.

Insiden itu menimbulkan kemarahan di media sosial dan kemarahan daripada penyokong hak wanita.

Sehubungan itu, orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati melalui Twitter mempersoalkan tentang kelemahan undang-undang di Mesir dalam melindungi golongan wanita di negara itu.

Sementara penulis kontroversi, hos rancangan bual bicara, dan peguam bela hak wanita,  Khaled Montaser menyelar tindakan itu di Twitter, dengan menyifatkan penularan video itu  sebagai suatu ‘pengkhianatan’.

“Bagaimana video pelajar yang dibunuh itu (Naira Ashrad) telah dirakam dan ditular ke luar dari bilik mayat? Adakah kejahatan dan kezaliman mencapai tahap sedemikian?,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/8/2022

- Advertisement -