Hubungan Malaysia-Turkiye dinaik taraf kepada CSP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hubungan dua hala Malaysia dan Turkiye telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) bermula dengan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Ankara baru-baru ini.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata kedua-dua negara juga bersetuju untuk menganjurkan dan mengadakan lebih banyak perbincangan secara formal dan tidak formal antara Menteri Luar kedua-dua negara.

“Perdana Menteri baru sahaja menamatkan lawatan ke Ankara, lawatan yang sangat berjaya, beliau dan Presiden Erdogan mengadakan pertemuan yang membuahkan hasil dalam beberapa isu.

“Kemudian, lawatan negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Turkiye akan diadakan pada pertengahan Ogos,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Luar Turkiye Mevlut Cavusoglu di Parlimen, hari ini.

- Advertisement -

Sempena lawatan rasmi empat hari ke Turkiye bulan lepas, Ismail Sabri turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan di Istana Presiden.

Kedua-dua pemimpin bertukar-tukar pandangan mengenai pengukuhan hubungan dua hala serta perkembangan semasa serantau dan antarabangsa, terutamanya tentang keselamatan makanan.

Saifuddin berkata kedua-dua negara kini dalam pusingan akhir rundingan untuk memuktamadkan perluasan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA) yang akan merangkumi bidang baharu iaitu pelaburan, perkhidmatan dan e-dagang.

“Mengenai pertukaran mata wang, kami sedang berusaha untuk mempercepatkan pemeteraian perluasan MTFTA dan juga bagi kedua-dua bank pusat untuk memuktamadkan perbincangan mengenai pertukaran mata wang,” katanya.

Saifuddin menegaskan kedua-dua negara bersetuju bahawa potensi baharu dalam bidang pelaburan terutama membabitkan ekonomi digital, ketenteraan dan industri pertahanan boleh diteroka dengan lebih meluas.

Mengenai pelaburan berterusan menerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gockchen (ISGIA), beberapa isu tertentu membabitkan pembabitan lebih meluas MAHB di lapangan terbang Turkiye itu, turut dibentangkan oleh pihak Malaysia ketika pertemuan hari ini, katanya.

 “Kami turut berbincang mengenai rundingan yang sedang berlangsung antara Turkish Petroleum dan Turkish Offshore Technology Centre dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

“Diharapkan kita dapat melihat syarikat minyak dan gas Turkiye di Malaysia tidak lama lagi,” katanya.

Mengulas bidang membabitkan bantuan kemanusiaan di Afghanistan, Saifuddin berkata Misi Keamanan Global (GPM) sebuah pertubuhan bukan kerajaan Malaysia, akan mula berbincang dengan Bulan Sabit Merah Turkiye mengenai bagaimana kedua-dua pihak dapat memain peranan bersama bagi menghulurkan sokongan kepada rakyat di negara yang dilanda konflik itu.

Sementara itu, Cavusoglu berkata kunjungan balas dan perbincangan antara Malaysia dan Turkiye memberikan nafas baharu terhadap hubungan dua hala bersama.

Beliau turut menyuarakan penghargaan terhadap kerajaan Malaysia kerana terus menyokong hubungan institusi Turkiye dengan badan serantau ASEAN.

Cavusoglu berkata Turkiye menyasarkan dapat mencapai sasaran US$5 bilion menerusi dagangan dua hala pada tahun ini sambil menegaskan, lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi mengukuh kerjasama berkenaan antara dua negara.

“Pada separuh pertama tahun ini, kita sudah mencapai nilai dagangan sebanyak US$2.42 bilion yang menunjukkan pertumbuhan 50 peratus. Jumlah ini akan terus meningkat dan memberikan kesan.

“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk mendapat lebih lagi pada tahun ini,” katanya sambil menjelaskan, Malaysia adalah rakan dagang terbesar Turkiye di rantau ASEAN. – BERNAMA

- Advertisement -