Gerun, takut antara faktor tidak minat derma darah

Datuk Dr Zaini Hussin
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Berdasarkan data Pusat Darah Negara (PDN) hanya 1.7 peratus atau 17 orang daripada 1,000 individu yang menderma darah di Kelantan.

Sedangkan negeri-negeri lain termasuk Johor, Pulau Pinang dan Selangor kadar menderma darah antara 40 hingga 50 orang daripada 1,000 penderma.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dato’ Dr Zaini Hussin berkata, Kelantan merupakan negeri paling rendah jumlah individu yang tampil menderma darah.

- Advertisement -

Katanya situasi itu berlaku kerana beberapa faktor menyebabkan penderma sukar berbuat demikian.

“Antaranya ada individu melahirkan perasaan gerun, takut, bimbang sakit dan badan gemuk. Ini sebahagian faktor rakyat Kelantan tidak ramai yang tampil menderma darah.

“Bagaimanapun kita dapati ada dalam kalangan orang awam akan menderma darah apabila berlaku sesuatu kecemasan melibatkan keluarga mereka,” katanya pada kempen Hari Menderma Darah Sedunia peringkat negeri di ruang ligar KB Mall semalam.

Pada program tersebut seramai 500 individu menderma darah. Program itu dianjur badan bukan kerajaan (NGO).

Dr Zaini juga berkata, setiap hari sebanyak 150 hingga 200 beg darah diperlukan untuk kegunaan pesakit di hospital.

Oleh itu beliau berharap lebih ramai rakyat Kelantan tampil untuk menderma darah demi menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan. – HARAKAHDAILY 4/8/2022

- Advertisement -