Empat pemain Speedy Tigers perkukuh skuad dalam dewan di Thailand

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Empat pemain kebangsaan dipanggil bagi menguatkan misi skuad dalam dewan lelaki bagi memburu podium pada Kejohanan Hoki Dalam Dewan, Piala Asia 2022 di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, Thailand.

Ketua Jurulatih Skuad Lelaki Hoki Dalam Dewan Muhammad Amin Rahim yakin anak buahnya mampu mempamerkan aksi bertenaga dengan bantuan Speedy Tigers dalam mengharungi saingan sengit pihak lawan. 

Beliau berkata empat pemain itu ialah pemain pertahanan, Muhammad Najmi Farizal Jazlan serta tiga penyerang Norsyafiq Sumantri, Muhammad Ashran Hamsani dan Shello Silverius. 

“Saya rasa kita sudah bersedia dari segi permainan, jadi sekarang fokus saya adalah membaiki pukulan sudut penalti, sebab itu kita memerlukan khidmat pemain senior yang lebih berpengalaman untuk bersama-sama membantu pasukan.

- Advertisement -

“Saya rasa setakat ini, tiada masalah untuk sampai ke final, namun mungkin cabaran akan datang adalah dari Thailand dan Indonesia yang saya kira agak kuat dalam perlawanan hoki dalam dewan,” katanya kepada pemberita di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Pada edisi 2019 di Chonburi, Thailand, skuad lelaki negara menamatkan kejohanan di kedudukan ketiga  manakala skuad wanita di kedudukan keempat.

Dalam pada itu, Jurulatih Skuad Wanita Hoki Dalam Dewan Mohd Rodzhanizam Mat Radzi memaklumkan walaupun skuad wanita tidak mempunyai tahap kecergasan yang memuaskan, ia mencukupi bagi mewakili negara pada pentas berprestij berkenaan. 

“Saya rasa setakat ini kita sasarkan masuk separuh akhir dahulu, daripada situ kita akan buat sasaran seterusnya yang lebih baik, saya juga telah terangkan kepada pemain cara taktikal yang kita mahukan dalam sesi latihan yang diadakan,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan dan Akademi Hoki Raja Ashman Shah, Shurizan Mansor berkata kejohanan berkenaan tidak menawarkan slot ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan, namun akan memastikan anak buahnya memberikan aksi terbaik bagi mencapai sasaran awal ke peringkat separuh akhir.

Beliau bagaimanapun berkata sehingga kini Persekutuan Hoki Asia (AHF) masih belum mengesahkan bilangan penyertaan daripada negara lain serta menetapkan jadual pertandingan dan format yang akan digunakan sama ada bagi pasukan lelaki atau wanita. 

Skuad lelaki dan wanita akan berlepas ke Bangkok pada Sabtu ini.

Berikut merupakan senarai 12 pemain Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki yang akan beraksi di Bangkok, Thailand.

NoNamaPosisi
1Mohd Khairul Afendy Bin KamaruzamanPenjaga Gol
2Mohamad Hazrul Faiz Bin Ahmad SobriPenjaga Gol
3Muhammad Najmi Farizal Bin JazlanPertahanan
4Razali Bin Mohd HazemiPertahanan
5Muhammad Aslam Bin Mohamed HanafiahPertahanan
6Mohd Norhafizie Bin Jamil AzomiPertahanan
7Faridzul Afiq Bin MohdTengah
8Muhammad Firdaus Bin OmarTengah
9Norsyafiq Bin SumantriPenyerang
10Muhammad Ashran Bin HamsaniPenyerang
11Shello SilveriusPenyerang
12Muhamad Izham Bin AzharPenyerang

Berikut merupakan senarai 12 pemain Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita yang akan beraksi di Bangkok, Thailand.

NoNamaPosisi
1Farah Ayuni Binti YahyaPenjaga Gol
2Nur Hazlinda Binti Zainal AbidinPenjaga Gol
3Juliani Binti Mohamad DinPertahanan
4Nuraini Binti Abdul RashidPertahanan
5Nur Syuhada Binti SuhaimiPertahanan
6Nur Aisyah Binti YaacobPertahanan
7Raja Norsharina  Binti Raja ShabuddinTengah
8Fatin Shafika Binti Mohd SukriTengah
9Iren Binti HussinPenyerang
10Putri Nur Batrisyia Binti Nor NawawiPenyerang
11Qasidah Najwa Binti Muhammad HalimiPenyerang
12Fazilla Binti Sylvester SilinPenyerang – BERNAMA 

- Advertisement -