Bencana Geologi Berangkai punca tragedi 4 Julai di Baling

- Advertisement -

PASUKAN Khas Siasatan Bencana di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah mengesahkan faktor penyebab tragedi banjir puing dan banjir lumpur yang berlaku di Baling, Kedah tanggal 4 Julai lalu.

Bencana Geologi Berangkai iaitu tanah runtuh, aliran puing, banjir puing dan banjir lumpur telah disahkan dalam laporan itu sebagai penyebab utama tragedi. 

Ia telah menyebabkan tiga maut, 3,546 penduduk terkesan dan 17 kediaman musnah, selain melibatkan kerugian anggaran RM25.9 juta. 

Bencana tercetus daripada hujan lebat lampau yang menyebabkan terjadinya tanah runtuh, disusuli oleh aliran puing, banjir puing dan banjir lumpur.

Gabungan geologi ini memiliki kandungan berjumlah 1.5 juta meter padu bahan hakisan dan 7.3 juta meter padu bahan puing keseluruhan bersama anggaran kuantiti air sebanyak 11.2 juta meter padu.

Punca tercetus bencana

Rangkaian bencana berpunca daripada 300,000 meter padu tanah runtuh yang meluas di kawasan permatang atau legeh dan lurah curam di kawasan tanah tinggi. 

Di mana hujan lebat lampau sebanyak 290 milimeter perjam telah mencetuskan aliran puing sebesar 2.6 juta meter padu di sepanjang alur serta berlakunya hakisan dasar dan tebing. 

Kandungan air yang tinggi di dalam alur inilah menyebabkan aliran puing bertukar menjadi banjir puing berjumlah 3.3 juta meter padu. 

Manakala jambatan Sungai Iboi menjadi empangan sementara yang menyebabkan bahan puing tersekat, kemudiannya pecah lalu mendampar bahan puing terdiri daripada batu dan kayu hingga menyebabkan kemusnahan utama. 

Sementara di kawasan hilir iaitu muara Sungai Kupang, bencana terhasil dari banjir lumpur yang mengendapkan 1.1 juta meter padu lodak di mana turut sedia wujud mencetekkan dasar sungai. 

Keadaan tersebut meningkatkan kuantiti puing dan menambahkan kuasa kepada banjir puing yang terjadi. 

Pemusnah utama

Aliran puing diakui sebagai fenomena geologi paling ganas di lurah dataran tinggi sesebuah lembangan. Di negara ini fenomena tersebut telah dikenali sejak tahun 1995 yang merekodkan 25 kejadian dan 442 kematian serta kerugian ribuan juta ringgit. 

Kes pernah terjadi adalah seperti di Genting Sempah (1995), Pos Dipang dan Keningau (1996), Ruang Changkul (2002), Jerai dan Sungai Telemung serta Sungai Lui (2021). 

Ia merupakan bencana alam paling berbahaya dan sering disalahtafsirkan manifestasi dari impak yang sering dikaitkan dengan fenomena kepala air atau banjir kilat (dalam pengelasan Jabatan Pengairan dan Saliran – JPS). 

Bencana seumpama juga di kawasan tanah rendah yang berada di hilir kawasan lembah tanah tinggi disebabkan proses geomorfologi dalam sebuah lembangan.

Tindakan-tindakan

Pasukan tersebut turut mencadangkan pelaksanaan untuk tempoh dua tahun ini melibatkan pemetaan terperinci bencana; pemasangan sistem amaran awal; pedalaman sungai dan pembersihan puing berterusan. 

Juga pemindahan penduduk; menanam tumbuhan tutup bumi; mengekalkan ladang hutan atau kembali menjadi hutan perlindungan; menyediakan koridor hidupan liar; dan pembinaan keupayaan menangani fenomena. 

Selain perlunya jerayawara dan forum bencana geologi di pelbagai peringkat; serta Rang Undang-undang Penyiasatan Geologi dan Geosains dengan mengandungi peruntukan berkaitan bencana geologi diluluskan. 

Manakala untuk jangka panjang dalam lima tahun, dirancang untuk tindakan menubuhkan pusat penyelidikan; mewujudkan program pemetaan; mengadakan jaringan sistem amaran awal; dan pelan mitigasi risiko berasas struktur pelbagai fungsi dan terintegrasi.

Terjawab persepsi tuduhan

Dengan laporan siasatan ini sekali lagi memberi jawapan yang sekali gus juga menyangkal persepsi buruk dan tuduhan fitnah pihak-pihak tertentu ke atas pentadbiran Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sebagaimana tragedi sebelumnya di Gunung Jerai yang membawa impak hampir serupa, kerajaan negeri dituduh ‘memugar’ balak daripada hutan simpan tersebut hinggalah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta banyak pihak berwajib lain membuktikan sebaliknya. 

Masalahnya ialah serangan beremosi dan melulu seperti dilakukan bekas Setiausaha Politik Dato’ Ahmad Bashah Md Hanipah iaitu Dato’ Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang akhirnya kini menjelaskan ia seperti meludah ke langit.

Pengajaran bersama

Semua pihak perlu menginsafi dan mengambil iktibar betapa bumi kita huni ini semakin menua. Kerana tangan-tangan manusia juga, kekuatan bumi ini telah melemah antaranya berlaku perubahan iklim yang ekstrem. Kesannya, kita mulai ditimpa pelbagai bencana. 

Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh dalam satu wawancara berkata ada menyebut beberapa situasi antaranya Taufan Rai yang mengikut perkiraan pihak berkaitan akan berhenti di Pahang dan Kelantan sahaja.

Namun katanya, dengan kuasa Allah SWT, ekor taufan itu telah melintas Banjaran Titiwangsa. Begitu juga taburan hujan beritahunya, paling tinggi antara 100 hingga 200 milimeter, tetapi kini hampir 800 milimeter seminggu.

Begitu juga menurutnya, awan kawasan tropika kita ini yang begitu mudah berubah secara tiba-tiba di mana semua ini memerlukan satu tindak balas baharu manusia di bumi terhadap alam sekitar.

IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 4/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -