Azhar: Saya selalu bagi laluan YB Tumpat

Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Che Abdullah Mat Nawi
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Perbahasan Ahli Parlimen Tumpat yang padat dan menepati masa ditetapkan mendapat pujian Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Sebaik sahaja Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, menamatkan perbahasannya mengenai Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2022, Azhar berkata: “Yang Berhormat Tumpat, saya tak tahu lah apa timbalan saya buat, tetapi kalau saya pengerusikan, saya selalu bagi laluan YB Tumpat.

- Advertisement -

Pujian itu disambut Che Abdullah dengan ucapan terima kasih.

Sebelum itu ketika berbahas, Che Abdullah menggesa kerajaan melanjutkan insentif pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi pembelian kenderaan.

Katanya, harga kereta baharu kembali kepada asal selepas pengecualian itu berakhir pada 30 Jun lalu dengan jangkaan kenaikan harga sehingga 10 peratus bagi model pemasangan tempatan dan sekitar lima peratus bagi model import.

“Saya difahamkan Proton (Holdings Bhd) menjangka jumlah tempahan akan berkurangan mendadak pada Julai dan seterusnya.

“Dengan iklim ekonomi yang belum stabil, jika pengecualian ini tidak diteruskan, kita akan menyaksikan jualan kereta nasional dalam negara akan terjejas,” katanya.

Beliau juga berpandangan Kementerian Kewangan perlu melakukan semakan bagi memastikan sistem SST menutup kelemahan yang menyebabkan masih ada pihak terlepas daripada dikenakan cukai setelah empat tahun beroperasi.

Katanya, SST perlu menjadi cukai yang lebih progresif dan memberi lebih fokus terhadap kumpulan berpendapatan tinggi.

“Masalah utama SST adalah liputan yang tidak meluas seperti GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) yang lebih menyeluruh.

“Saya yakin keutamaan kerajaan ketika ini adalah aspek hakisan dalam percukaian bagi mengelak pihak tertentu terlepas daripada membayar cukai,” katanya.

Beliau juga memohon penjelasan sama ada sistem GST lebih baik daripada SST sebagai sistem percukaian seperti yang disebut oleh beberapa pakar ekonomi. – HARAKAHDAILY 4/8/2022

- Advertisement -