Alu dan lesung berlaga, ayam kekenyangan

- Advertisement -

Oleh NASRUDIN HASSAN

SAYA
bukanlah mahir dalam merencana strategi dan tidak pula bijak dalam mengolah caturan politik. Saya hanya sekadar mampu membaca apa yang zahir dari perkembangan politik semasa.

Apa yang saya baca ini pula boleh jadi salah pada nahu dan tatabahasa politiknya. Mungkin sahaja ada yang menganggap fikrah saya tidak lagi jelas apabila mengulas perkara ini. Namun saya sedang kerisauan.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya 4 penjuru. (PN vs BN vs PH vs Gagasan Tun M.) Belum mengambil kira parti-parti kecil dan calon Bebas yang turut mengambil bahagian dalam PRU15 kelak.

Apa yang merisaukan saya, sekali lagi umat Islam berbangsa Melayu bakal bertembung antara satu sama lain dan semua orang tahu bagaimana keputusan bakal diperolehi. Bak kata orang dulu-dulu, alu dengan lesung berlaga, yang kenyangnya ialah ayam.

- Advertisement -

Masih terngiang-ngiang ucapan Kapten Syers dalam filem Mat Kilau yang menyindir bangsa Melayu bahawa British tetap akan menguasai bangsa Melayu kerana Melayu gagal bersatu dan suka berkelahi.

Meskipun itu hanya sindiran dalam skrip filem dan berlatarkan peristiwa tahun 1892, namun ia adalah suatu yang realiti dan berlaku dewasa kini saat menjelang PRU15.

Saya pun tidak tahu di mana kerosakannya. Kerana saya yakin dan percaya bahawa semua pemimpin Melayu Islam ini tahu kelebihan dan kepentingan bersatu padu. Bahkan mereka juga tahu benar, akibat dari perpecahan umat ini.

Malangnya, lagi disuruh bersatu makin besar jurang perpecahan. Ada yang seronok bergaduh. Perbalahan itu menjadi modal untuk menyerang antara satu sama lain. Saling tuding menuding dan salah menyalah. Tak tahu bila nak selesai?

Saya pun berani tak berani untuk menyebut perkara ini. Kerana sering dipandang sinis bila bercakap soal penyatuan. Tapi saya pilih untuk terus bersuara dalam keberanian yang masih berbaki, agar ada sinar untuk masa depan umat Islam di negara ini mendominasi penguasaan politik dan ekonomi negara.

Ketepikanlah ego, buanglah dendam dan campaklah benci yang membuak sesama umat Islam. Lapangkan dada, jernihkan minda dan lunakkan bahasa lalu cari ruang dan usahakan peluang agar parti-parti politik umat Islam ini boleh berada di atas satu muafakat.

Usahlah saling serang menyerang, sindir menyindir. Jangan lagi dipersoal siapa mula dulu. Tidak perlu lagi mengambil sikap “dah orang serang kita, tak kan nak duduk diam?” Kerana situasi ini tidak membantu untuk islah.

Sebaliknya praktiskan apa yang diajar oleh Islam. Bila ada pertelagahan, kita diajar untuk damaikan, bukan menajamkan lagi pertelagahan itu.

Jika semua kembali kepada akhlak Islam, kembali kepada formula penyelesaian Islam, insya-Allah umat Islam boleh kembali bersatu bagai Aus dan Khazraj meskipun mereka telah melalui zaman telagah ratusan tahun lamanya.

Saya hanya mencoret sambil melilit serban, namun selebihnya saya pulangkan kepada kebijaksanaan pemimpin parti-parti politik umat Islam. Berbaloikah pertelagahan yang mengenyangkan “ayam” ini? Atau ayam itu tak kenyang-kenyang?

Insya-Allah, masih ada masa. – HARAKAHDAILY 4/8/2022

- Advertisement -