UMT perluas pemindahan ilmu ternakan kelulut

- Advertisement -

SETIU: Bermula dengan 15 sarang kelulut dan sebuah keluarga sahaja yang menyertai projek perintis pada 2019, kini ia berkembang kepada 200 sarang dengan penglibatan 20 keluarga dalam tempoh dua tahun.

Inisiatif itu merupakan usaha Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui program pemindahan ilmu penternakan kelulut kepada penduduk di Kampung Pengkalan Gelap di sini, untuk meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

Naib Canselor UMT Profesor Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata kecemerlangan projek perintis itu juga berjaya mendapat perhatian syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tempatan iaitu Pharmaniaga Bhd untuk turut menyumbang dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka bagi mengembangkan lagi projek ternakan kelulut itu.

“Kerjasama strategik antara UMT dengan Pharmaniaga telah berjaya membantu meningkatkan hasil pengeluaran madu kelulut dan produk hiliran berasaskan madu sekali gus menambah produktiviti dan pendapatan isi rumah peserta terlibat.

“UMT melalui kumpulan penyelidik lebah dan kelulut juga telah berjaya membida dana inovasi sosial daripada Yayasan Inovasi Malaysia iaitu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk melibatkan lebih ramai penduduk kampung dalam program ini dan UMT optimis bahawa dalam masa terdekat kampung ini akan menjadi satu lagi hab pengeluaran lebah kelulut terbesar di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas mengiringi lawatan Tengku Puteri Utama Raja yang juga Duta Konservasi Alam Sekitar UMT ke projek kelulut komuniti di Kampung Pengkalan Gelap di sini semalam.

Sebelum ini, UMT telah melaksanakan program pemindahan ilmu ternakan kelulut itu kepada golongan ibu tunggal Kampung Jabi di Besut, golongan asnaf dan pelajar tahfiz di Kuala Nerus serta golongan petani Bukit Kor di daerah Marang. 

Menurut Mazlan, visi jangka masa panjang UMT ialah melahirkan usahawan kelulut berkemahiran tinggi yang berdaya saing dan lestari dalam sektor agropelancongan setempat serta memperkasakan produk hiliran madu kelulut dalam kalangan komuniti.

Katanya, UMT juga telah melaksanakan sebanyak 118 projek pemindahan ilmu di bawah geran dalaman dan diberi kepercayaan menguruskan Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) bernilai RM2.38 juta yang telah memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat di Terengganu.

Sementara itu, peserta perintis Tengku Azam Tengku Mat, 67, berkata dia sangat bersyukur kerana diberi kesempatan menternak kelulut dengan bimbingan penuh UMT dan meraih pendapatan sampingan hampir RM1,000 setiap bulan.

Tengku Azam berkata setiap masalah yang dihadapi sejak projek bermula, akan dirujuk kepada penyelidik UMT dan dia diberi penerangan terperinci sehingga mahir dalam bidang tersebut. – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -