Ulama nafi pondok tempat lahir golongan ekstremis

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Pengusaha pondok diminta berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri untuk memastikan tidak timbul tuduhan yang tidak berasas pihak tertentu terhadap institusi pendidikan terbabit.

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pondok berjaya melahirkan ramai tokoh dalam kepimpinan kerajaan negeri sejak dahulu sehingga sekarang.

Malah dakwaan sekolah pondok berpotensi menjadi pusat penyebaran fahaman ekstremisme yang membabitkan tenaga pengajar dan pelajar adalah tidak benar.

Advertisement

“Ada pihak menaruh kebimbangan kemunculan pondok-pondok dalam versi baru atau lama yang tidak berdaftar.

“Kita dapati secara keseluruhan tidak berlaku demikian, kita menafikan pondok bukan tempat melahirkan golongan ekstremis dan radikal,” katanya.

Baru-baru ini Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof Emeritus Dato Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid dilapor bimbang 400 pondok di negara ini berpotensi jadi pusat sebar ekstremisme.

Tuan Mohd Saripudin yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri berkata, lebih 40 pondok di Kelantan sudah berdaftar dengan pihak berkuasa agama.

Beliau turut berharap semua pengusaha sekolah pondok dan pusat tahfiz al Quran dapat mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa agama negeri.

“Saya berharap dan meminta jasa baik semua pondok yang terdapat di Kelantan dan seluruh Malaysia mengikut peraturan pendaftaran yang ditetapkan.

“Ini bagi memastikan pondok melahirkan masyarakat berilmu beramal dan saksiah baik bagi membantu pembangunan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/2022