Semua aktiviti jejas Tasik Chini telah dihentikan

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Sebarang aktiviti termasuk kelulusan baharu untuk pengambilan pasir dan mineral di Tasik Chini, sudah dihentikan bagi mengelak kawasan berkenaan terjejas.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata tindakan tegas akan diambil bagi memastikan status Tasik Chini sebagai sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) dapat dikekalkan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berikutan terdapatnya laporan laporan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), yang menyebut Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR).

- Advertisement -

“Tindakan akan diambil sama ada oleh Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri bagi mengelak Tasik Chini,” ujarnya kepada media selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Islah, di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, maklumat terperinci mengenai perkara itu akan diperjelaskan di Parlimen esok.

“Namun, apa yang boleh saya katakan, kita sudah mengambil tindakan bagi memastikan Tasik Chini dikekalkan status sebagaimana sebelumnya.

“Antara tindakan diambil adalah kita menghentikan segala kegiatan yang boleh menjejaskan Tasik Chini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Tambahnya, arahan tegas dari kerajaan adalah tidak ada kelulusan baharu untuk pengambilan mineral dan galian di Tasik Chini.

Isnin lalu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah R’ayatuddin Al-Mustafa Bilal Shah menitahkan supaya pajakan lombong di Tasik Chini yang tamat tempoh, tidak disambung dan kawasan itu dihijaukan semula dengan segera.

Baginda juga mahu mahu kerajaan negeri lebih agresif memastikan Tasik Chini dapat dipulih dan dihijaukan semula susulan laporan berkala UNESCO yang mendapati Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria ditetapkan badan itu untuk menjadi sebahagian WNBR. – HARAKAHDAILY 3/8/2022

- Advertisement -