Semak Akta 672 mantapkan pengurusan sisa makanan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Sri Reezal Merican Naina Merican
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat untuk mengkaji kaedah bagi memantapkan pengurusan sisa makanan supaya lebih sistematik dan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, berkata kementeriannya sedang membuat semakan terhadap Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) untuk mengukuhkan elemen ekonomi kitaran secara menyeluruh.

- Advertisement -

Katanya, tindakan itu merupakan visi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mempercepatkan peralihan konsep pengurusan sisa pepejal secara ekonomi linear kepada ekonomi kitaran.

“Kerjasama dan perkongsian maklumat daripada pelbagai pihak adalah penting bagi menghasilkan perundangan baharu yang lebih berkesan.

“Sebagai permulaan, kementerian ini dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar Jepun (MOEJ) sedang membangunkan garis panduan pengurusan sisa makanan,” katanya pada Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan usaha kementerian untuk mengatasi isu pembaziran makanan di Malaysia yang semakin membimbangkan.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid

Reezal Merican berkata, melalui kerjasama itu, KPKT juga akan mencontohi kejayaan Jepun dalam mewujudkan perundangan khusus yang menyokong pengurusan sisa makanan yang lestari.

Selain itu, katanya sebagai inisiatif memantapkan lagi pengurusan sisa makanan, KPKT juga menganggotai kumpulan kerja serantau anjuran Program Alam Sekitar Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) untuk membangunkan indeks sisa makanan (food waste index).

Katanya, KPKT juga membangunkan garis panduan pengurusan sisa makanan selain meneroka potensi pelaksanaan kaedah rawatan sisa di punca (treatment at source) seperti Anaerobic Digestor (AD) dan mesin kompos. – HARAKAHDAILY 3/8/2022

- Advertisement -