RUU Anti Lompat Parti selari dengan pendirian Kelantan

Dato' Mohd Amar Abdullah
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
PAS Kelantan menyambut baik keputusan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihak kerajaan negeri menyambut baik keputusan dan kelulusan yang dibuat itu memandangkan ia adalah selari dengan pendirian sebelum ini.

“Mengenai keputusan yang dibuat di peringkat Parlimen ini merupakan satu keputusan yang selari dengan pendirian kerajaan negeri kerana sewaktu awal kita menang kita pernah hadapi situasi sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri lompat parti.

- Advertisement -

“Oleh itu, bagi menjaga kedudukan kerajaan dan sistem demokrasi, maka kerajaan negeri ketika itu membubarkan dan membentangkan Undang Anti Lompat Parti di dewan negeri sepertimana situasi yang dibuat di peringkat Parlimen hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan hari Hududullah peringkat Negeri Kelantan, di Dewan Besar Balai Islam, Kompleks Islam Darulnaim, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, mengenai penggunaan pelaksanaan perlembangaan itu, pihaknya akan melihat semula kelulusan yang pernah dibuat di peringkat negeri itu sebelum ini sama ada masih boleh diguna pakai atau sebaliknya.

“Kita akan membuat perbincangan dan akan kaji semula apa yang telah kita bentangkan sebelum ini bagi melaksanakan mengenai peruntukan larangan ADUN bertukar parti supaya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan di Dewan Rakyat,” katanya.

Terdahulu, Kelantan negeri awal yang meluluskan undang-undang anti-lompat (tahun 1991) dan pilihan raya kecil telah diadakan apabila wakil rakyat di negeri itu melompat, tetapi ia tidak disahkan pusat.

Mahkamah sebelum ini pernah mengisytiharkan peraturan yang menghalang lompat parti di dalam Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan sebagai batal dan tidak sah.

Pada tahun 1991, Perkara 31A telah ditambah pada Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan bagi menetapkan bahawa “jika mana-mana ahli Dewan Negeri yang menjadi ahli suatu parti politik meletakkan jawatan atau dibuang daripada parti itu, atau atas apa-apa sebab jua berhenti daripada menjadi ahli suatu parti politik itu, dia hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Negeri dan kerusinya hendaklah menjadi kosong”.

Ketika itu dua ADUN dari Parti Semangat 46 iaitu Nordin Saleh dan Wan Najib, telah lompat menyertai Umno. Lalu mereka dilucutkan jawatannya sebagai ADUN melalui kuatkuasa pindaan baharu itu dan diadakan pilihan raya kecil dan mereka bertanding menjadi calon Umno, lalu kalah kepada calon Semangat 46.

Bagaimanapun dua wakil itu mencabar di mahkamah dan akhirnya keputusan menyebelahi mereka apabila mahkamah mengembalikan kerusi sebagai ADUN dan memutuskan bahawa Perkara 31A Perlembagaan Kelantan itu adalah terbatal kerana bercanggah dengan kebebasan berpersatuan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 3/8/2022

- Advertisement -