Rumah gantian mangsa aliran puing dijangka sebelum Dis

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

BALING:
Pembinaan 12 buah rumah gantian mangsa aliran puing Gunung Inas dijangka siap sebelum Disember ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rumah berkenaan akan didirikan di tapak seluas 2.1 ekar di Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Kampung Sadek, Mukim Kupang.

“Rumah kepada 12 keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat aliran puing, 4 Julai lalu ini dijangka siap dalam tempoh enam bulan iaitu sebelum Disember ini,” jelas beliau pada sidang media sempena Majlis Pecah Tanah di Desa KEDA, Kampung Sadek, hari ini.

- Advertisement -

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan (SUK) Kedah, Dato’ Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim, Pegawai Daerah Baling, Mohd Shahadan Abdullah dan para Exco kerajaan negeri.

Katanya lagi, rumah sesebuah yang mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan dapur itu menelan kos sehingga RM75,000 termasuk pembangunan infra.

Menurutnya, Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menyumbang fasiliti (utiliti elektrik dan air) sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

Kerajaan negeri juga ujarnya telah bersetuju melantik Pejabat Daerah Baling sebagai jabatan pelaksana manakala kontaktor yang dilantik adalah daripada anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, Kynetic Land Sdn. Bhd.

“Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak sama ada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), persendirian dan lain-lain atas sumbangan membantu menjayakan program ini.

“Sumbangan melalui Kedah Care masih dibuka untuk membantu meringankan beban mangsa kejadian,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Sanusi memaklumkan, Pejabat Daerah Baling kini dalam usaha mencari tapak yang bersesuaian untuk penduduk yang tinggal sepanjang jajaran Lata Celak yang tidak selamat lagi untuk didiami.

“Malah ketika kunjungan Tuanku Raja Muda Kedah baru-baru ini, baginda turut menitahkan agar penduduk tanah rizab itu dipindahkan untuk mengelak risiko pada masa akan datang,” ujar beliau.

Sementara 12 keluarga yang tersenarai sebagai penerima rumah gantian dikenal pasti berdasarkan syor Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Baling.

Dalam perkembangan lain, seramai 34 mangsa melibatkan sembilan keluarga di Rambong, Baling dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) ekoran dilanda banjir lewat malam tadi.

Semua mangsa dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan Tunku Puan Habsah dan di Dewan Tun Abdul Razak sejak tengah malam sehingga awal pagi tadi apabila air Sungai Baling melimpah.

Antara yang terlibat termasuklah Kampung Batu Tujuh Rambong, Telok Sanau, Charok Juan dan Bendang Sera. – HARAKAHDAILY 3/8/2022

- Advertisement -