Peserta TKPM Telong disasar pendapatan RM5,000 sebulan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Seramai lima usahawan tani di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Telong Kandis di sini memperolehi pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) di bawah Jabatan Pertanian Negeri Kelantan.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, usaha itu merupakan satu pengiktirafan kerana berjaya mengamalkan pertanian mesra alam.

Katanya pihaknya melalui Jabatan Pertanian Negeri sentiasa memantau serta menambahbaik termasuk membuat pemilihan bagi memastikan semua 10 usahawan tani di TKPM Telong memperolehi sijil MyGAP.

“Di sini semua organik, kita mengutamakan organik yang bebas daripada daripada penggunaan racun perosak, jadi kita guna kaedah bio kontrol yang menggunakan bahan organik, sebab itu selepas kutip kita boleh terus makan.

- Advertisement -

“Kita sentiasa memberi galakan kepada mereka untuk melaksanakan pertanian organik, ada bajet khusus sebab itu kita galakan semua petani mendapat sijil MyGAP dengan mematuhi amalan pertanian baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke projek tanaman ubi keledek dan kacang botol yang diusahakan seorang peserta, Wan Khairi Wan Hamat di TKPM Telong Kandis di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Abdul Azziz Kadir; Adun Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin dan Pengarah Jabatan Pertanian Kelantan, Norbahani Zakaria.

Tuan Mohd Saripudin berkata, pihaknya juga menyasarkan semua usahawan tani yang mengusahakan tanah seluas 37 hektar di TKPM Telong dapat meningkatkan pendapatan sehingga RM5,000 sebulan.

Malah kata beliau sehingga Jun lalu jumlah hasil sayur-sayuran yang dikeluarkan di TKPM Telong sebanyak 226 tan metrik, berbanding sasaran pengeluaran sebanyak 398 tan metrik tahun ini.

Semua peserta juga katanya menggunakan teknologi terkini bagi meningkatkan lagi hasil pertanian, malah mereka yang terpilih merupakan individu yang mempunyai pengalaman tinggi dalam sektor tersebut.

“Kita mahu memaksimumkan penggunaan tanah di sini dan mengikut jadual penanaman putaran untuk memaksimakan penggunaan tanah dengan jadual tersusun.

“Kita ada empat bulan lagi untuk mencapai sasaran ini, kerana sehingga Jun lalu sahaja kita telah mengeluarkan 226 tan metrik, dengan pengalaman serta teknologi digunakan kita harap sasaran ini dapat dicapai,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/2022

- Advertisement -