Perancis: Pengusiran keluar pendakwah Islam terkenal dibantah

Imam Hassan Iquioussen bakal diusir keluar dari Perancis. (FOTO Change.org)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

NICE, Perancis: Beberapa organisasi dan masjid di Perancis membantah keputusan Kementerian Dalam Negeri Perancis yang bertindak kejam mengusir keluar Iman Islam terkenal, Hassan Iquioussen dari negara itu.

Imam tersebut berdepan dengan pengusiran itu selepas pihak berkuasa Perancis dikatakan bertindak tidak adil untuk tidak memperbaharui permit kediamannya dan melakukan tuduhan tidak berasas terhadapnya, lapor Anadolu Agency.

- Advertisement -

Dalam beberapa kenyataan media, ketua pelbagai organisasi di Perancis turut menggesa penolakan prosedur berkenaan yang disifatkan sebagai tidak adil terhadap Iquioussen.

Timbalan Kesatuan Rakyat Ekologi dan Sosial Baru Utara (NUPES), David Guiraud dalam kenyataannya pada Ahad lalu telah melahirkan rasa kecewanya terhadap perkara tersebut.

“Hassan Iquioussen sentiasa membuat kenyataan yang konsisten dengan nilai-nilai kebangsaan (Perancis) iaitu kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan, serta sekularisme. 

“Beliau dengan setia berkempen tanpa jemu untuk mempromosikan dialog, rasa hormat dan kebersamaan,” kata kenyataan itu. 

Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama, Majlis Masjid Rhone (CMR) dan Majlis Teologi Imam Rhone (CTIR) berkata, tuduhan terhadap Iquioussen seolah-olah tidak selari dengan semangat keadilan dan kesaksamaan Imam tersebut. 

“Kami sentiasa mengenali beliau sebagai seorang yang setia kepada komitmennya menentang kebencian, perkauman, anti-Semitisme, ekstremisme, obskurantisme, keganasan dan penyokong kesaksamaan gender.

“Selama ini, beliau tanpa jemu mempromosikan dialog, rasa hormat, keamanan dan kerjasama yang aman (di Perancis),” kata Kamel Kabtane untuk RMC, dan Mohamed Minta dan Azzedine Gaci untuk CTIR.

Selain itu, tidak kurang daripada 26 masjid di utara Perancis juga telah mengeluarkan kenyataan bersama mempertahankan Iquioussen.

Petisyen yang dilancarkan Jumaat lalu bagi membantah pengusiran Iquioussen telah mengumpulkan hampir 15,000 tandatangan.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin menurut laporan Morocco World News berkata bahawa negaranya bersedia untuk mengusir Iquioussen.

Menteri itu secara terbuka menuduh imam keturunan Maghribi kelahiran Perancis itu mengamalkan ucapan kebencian terhadap nilai-nilai Perancis, bertentangan dengan prinsip sekularisme dan kesaksamaan antara wanita dan lelaki.

Iquioussen yang dilahirkan pada 1964 di Denain, di timur laut Perancis kepada pasangan Maghribi yang berhijrah ke negara itu sejak 1938 yang menurut wikipedia, telah menerbitkan video YouTube memaparkan syarahan mengenai agama dan politik sejak Disember, 2021 yang sehingga Julai 2022, gabungan kesemua video berkenaan telah meraih 33 juta tontonan. – HARAKAHDAILY 3/8/2022.

- Advertisement -