Oktoberfest: DAP gagal faham beza hak minum dan hak berpesta

- Advertisement -

SIDANG Parlimen kali ini, DAP masih membawa sekitar persoalan yang sama ke dewan yang mulia – apakah pendirian kerajaan mengenai sambutan Oktoberfest yang merupakan acara budaya di Jerman? Isu yang dibangkitkan saban tahun sejak daripada dahulu lagi, tetapi pendirian kerajaan masih tidak memuaskan hati DAP. Tidak ada soalan yang lebih penting lagikah yang sedang dihadapi rakyat untuk diajukan kepada Menteri Agama? 

Jawapan Menteri Agama dalam hal ini adalah jelas. Meskipun golongan bukan-Islam tidak dilarang untuk minum arak, kerajaan berpendirian bahawa perbuatan menjadikan minuman arak ini sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan kerana akan menimbulkan masalah sosial memandangkan arak dilihat mampu menjejaskan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan masyarakat.

DAP menyatakan bahawa pesta arak ini tidak merosakkan akhlak mana-mana pihak yang menghadirinya, sedangkan banyak kajian yang menunjukkan betapa bahayanya kesan arak yang memabukkan sehingga membawa kepada banyak masalah sosial yang lain seperti keganasan rumah tangga, kemalangan jalan raya, kemiskinan, pergaduhan, masalah kesihatan dan juga masalah prestasi kerja.

Seperti biasa, sejurus selepas jawapan di Parlimen itu boleh diakses oleh orang awam, media-media seperti FMT dan Malaysiakini dengan segera menerbitkannya dengan naratif yang ekstrem dan boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni antara kalangan penganut agama Islam dan agama yang lain. 

Sedangkan Menteri Agama tidak pernah menyatakan larangan kerajaan terhadap hak minum arak dalam kalangan orang bukan-Islam, cuma mahu membenarkan sehingga ke tahap menganjurkan pesta arak adalah tidak sesuai dengan peraturan dan undang-undang negara Malaysia yang berasaskan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Ameerah Malaysia memohon DAP berhenti daripada terus memainkan isu ini dan memberi tumpuan kepada isu-isu lain yang lebih kritikal dan utama kepada rakyat. DAP tidak perlu sibuk menjadi jurucakap kepada pemain industri yang mahu memaksimakan keuntungan hasil jualan melalui pesta arak sehingga menafikan kebajikan dan hak masyarakat untuk hidup dalam keadaan selamat.

DR. SITI MASTURA MUHAMMAD
Ketua Pengarah Ameerah Malaysia – HARAKAHDAILY 3/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -