Oktoberfest & Bon Odori: Pasir Mas bidas Bagan

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, membidas Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, yang mempertikaikan pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, berhubung isu Bon Odori dan Oktoberfest.

Ahmad Fadhli Shaari berkata, pandangan itu bukan berdasarkan apa yang telah dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sendiri, tetapi berpandukan kaji selidik Jabatan Agama berkaitan.

- Advertisement -

“Jadi orang lain, tak usah lah nak bising soal agama (Islam) yang wujud di negara kita,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan ketiga selepas soalan asal Dato’ Sri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Pertanyaan dijawab Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang sebelum itu menjawab soalan tambahan kedua Guan Eng (PH-Bagan) yang mendakwa Idris mengganggu amalan atau budaya hidup orang bukan Islam, baik dalam aspek Bon Odori atau Oktoberfest

Ketika mengemukakan soalan itu, Guan Eng berkata: Saya nak tanya Yang Berhormat Senator (Wan Ahmad Fayhsal) yang tadi sebut mengenai ekosistem di mana kita hendak pastikan perpaduan dalam masyarakat majmuk, tapi apakah pendirian kementerian apabila ada Menteri Agama dari PAS yang mengganggu amalan atau budaya hidup orang bukan Islam, baik dalam aspek Bon Odori atau Octoberfest.”

Ahli Parlimen Bagan turut bertanya adakah PAS tidak ada perkara lain hendak dilakukan dan bukankah ada isu lebih besar seperti rasuah untuk menyatupadukan rakyat, tetapi bukan mengganggu amalan yang telah dijalankan tanpa insiden selama ini.

Bagaimana Wan Ahmad Fayhsal mempertahankan Idris dengan berkata Menteri di JPM telah menyatakan pandangannya.

“Saya rasa kita perlu hormat pandangan masing-masing dan cumanya kita tidak menggunakan undang-undang untuk menyekat dari segi kebebasan mana-mana pihak untuk mengamalkan budaya mereka.

“Jadi dalam hal ini, saya fikir tiada salahnya Menteri Agama mengatakan begitu sebagai seorang Muslim dan sebagai seorang yang menjaga autoriti agama,” katanya.

Beliau berkata, soalan itu sepatutnya ditujukan kepada Menteri Agama, tetapi menjawabnya sebagai seorang Muslim.

“Saya lihat dalam Rukun Negara, kita ada perkara Kesopanan dan Kesusilaan. Saya fikir sebarang perbezaan dari segi kefahaman budaya dan agama, contohnya Bon Odori dan Oktoberfest yang sebenarnya bukan indigenous (bersifat tempatan) bukannya sebahagian budaya masyarakat kita asalnya,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Pasir Mas, beliau bersetuju dengan pandangan Ahmad Fadhli, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan adalah perkara paling penting dalam membina masyarakat dan semua agama menolak sebarang amalan yang boleh merosakkan kesihatan.

“Semalam kita berbincang pasal rokok, hari ini kita bertanya tentang arak, jadi kalau kita boleh menyokong Yang Berhormat Menteri Agama atas dasar kesihatan pun sudah memadai bagi saya,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/22

- Advertisement -