Lantik panel penasihat syariah, perkemaskan LTAT

- Advertisement -

PADA sesi perbahasan Rang Undang-undang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Dewan Rakyat pada 01 Ogos yang lepas, saya telah menekankan mengenai kepentingan aktiviti pelaburan LTAT mesti halal dan patuh syariah. 

Syariat agama membenarkan umatnya untuk melakukan aktiviti pelaburan bagi meningkatkan ekonomi ummah. Namun, ia perlu memenuhi dawabith iaitu syarat pelaburan patuh syariah sebagai syarat utama yang akan menentukan halal atau haramnya sesuatu pelaburan yang dilakukan. 

Seperti mana, Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 275:

- Advertisement -

وَاَحَلَّ اللّٰهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبٰواۗ 

“Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Saya difahamkan bahawa pelaburan yang dilakukan melalui LTAT adalah halal dan tidak bertentangan dengan hukum syarak. 

Namun, sehingga kini, masih belum wujud panel penasihat syariah yang dilantik di bawah LTAT khususnya untuk memantau aktiviti pelaburan yang dijalankan. 

Justeru, ia menimbulkan persoalan sejauh mana pelaburan LTAT dijamin halal dan patuh syariah. 

Oleh itu, saya berpendapat isu ini perlu dititikberatkan bagi memastikan wujudnya suatu badan berautoriti di luar daripada organisasi LTAT yang akan ‘mengaudit’ aktiviti pelaburan LTAT supaya ia bebas daripada unsur-unsur menyalahi syariat seperti riba, gharar, judi dan sebagainya. 

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 3/8/2022

- Advertisement -