Dukung perundangan Islam mampu lahir kesejahteraan rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sokongan dan dukungan rakyat Kelantan kepada undang-undang Islam akan dapat memastikan kesejahteraan dan keharmonian hidup masyarakat.

Malah Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub berkata, ia juga boleh dikecapi dan diwarisi dari generasi ke generasi.

Bagaimanapun beliau mengingatkan keingkaran dan ketidakpatuhan kepada undang-undang Islam menyebabkan kehidupan rakyat menjadi tidak stabil.

“Dalam usaha mengekang penularan budaya negetif di Kelantan kerajaan negeri mengariskan Dasar Pencegahan Gejala Sosial, Dasar Pendidikan Rabbani dan Budaya Komuniti Rabbani.

“Malah pematuhan kepada undang-undang Islam adalah suatu bentuk pendidikan yang akan memberi kebaikan kepada masyarakat dengan menepati perintah agama dan menjadikan syariat Islam sebagai panduan kehidupan,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Hududullah Peringkat Negeri di Balai Islam Lundang, hari ini.

- Advertisement -

Malah kata beliau kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1 (2019) yang dikuatkuasakan pada 1 November 2021.

Menteri Besar juga berharap ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan, pimpinan masyarakat, imam dan ahli jawatankuasa masjid berganding bahu mencegah kemungkaran di lokasi masing-masing.

Menurutnya juga jangan pula kita menjadi pendorong kepada sesuatu aktiviti yang tidak mematuhi syariat Islam dan bertentangan dengan undang-undang yang dikuatkuasakan di Kelantan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAHEAIK yang mengadakan pelbagai program untuk pencegahan gejala maksiat termasuk pelaksanaan operasi secara sistematik dan berkala.

Selain itu, kempen antimaksiat, siri penerangan undang-undang syariah di masjid, Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta serta sekolah-sekolah.

Oleh itu beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong aktiviti-aktiviti yang dianjurkan dalam usaha melaksanakan syariat Islam selaras dengan langkah melaksanakan komuniti Rabbani.

Sementara itu sempena program tersebut diadakan ceramah “Sebatan Sivil vs Sebatan Syariah” oleh Pegawai Penguasa Penjara, Jabatan Penjara Malaysia, Ahmad Fikri Safiar dan demonstrasi kaedah sebatan.

Selain itu lot forum “Undang-Undang Islam : Keliru dan Celaru?” menampilkan ahli panel anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan Pegawai Tugas-tugas Khas 1 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Nurhafilah Musa dengan moderator Nik Bahrum Nik Abdullah. – HARAKAHDAILY 3/8/2022

- Advertisement -