Didenda RM30,000 miliki minyak masak tanpa lesen

Foto hiasan.
- Advertisement -

PETALING JAYA: Dua individu masing-masing didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memiliki barang kawalan berjadual iaitu 7,135 kilogram minyak masak secara borong tanpa lesen, tahun lepas.

Hakim Jamaludin Mat menjatuhkan hukuman itu ke atas Yeo Yi Jin, 25; dan R. Jeevakumar, 48; selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh itu menjalani hukuman penjara setahun sekiranya mereka gagal membayar denda berkenaan. Kedua-duanya membayar denda itu.

- Advertisement -

Mereka didakwa telah ada dalam kawalan mereka barangan berjadual iaitu 7,135 kilogram minyak masak dalam keadaan yang menimbulkan syak.

Mereka itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak secara borong tanpa lesen di sebuah premis di Taman Equine, Seri Kembangan pada 9.30 malam, 12 Ogos 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua serta berikutnya hendaklah didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, hasil siasatan pihak berkuasa mendapati premis tersebut telah disewakan oleh Yeo dan digunakan oleh Jeevakumar untuk menjalankan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi dengan persetujuan wanita itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Nor Alimah Mohd Sanusi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk R.Thri Chelvam. – BERNAMA

- Advertisement -