Cadangan bina ‘airport’ Tioman perlukan NASP

- Advertisement -

DI Dewan Rakyat pagi ini menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Seremban yang juga bekas Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook.

Beliau bertanya sama ada Lapangan Terbang Pulau Tioman baru yang dicadangkan oleh sebuah syarikat swasta telah mendapat kelulusan dasar dari kerajaan dan apakah projek tersebut berdaya saing dan memenuhi kriteria kelestarian alam sekitar.

Saya memberitahu Dewan Rakyat bahawa Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) Ke-36 (Bil.3/2020) pada 27 Oktober 2020 antara lain telah bersetuju secara dasar dengan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman yang baharu tertakluk kepada keperluan untuk menyediakan beberapa laporan teknikal seperti Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (ElA), Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA), Marine Risk Assessment, Coral Mapping Studies dan Land-Disturbing Pollution and Mitigation Measures.

Sehingga kini, tiada kelulusan diberikan untuk menubuhkan aerodrom berhubung cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman yang baharu seperti mana yang diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) 2016.

Cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman yang baharu juga adalah tertakluk kepada hasil Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) yang telah bermula pada Mac 2022 lalu.

Kajian ini akan mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan dan meliputi kesemua 42 lapangan terbang sedia ada termasuk cadangan pembinaan lapangan-lapangan terbang baharu.

Kajian ini antara lainnya akan turut meneliti sama ada cadangan projek tersebut berdaya saing atau tidak.

Berhubung dengan penentuan kriteria kelestarian alam sekitar ke atas cadangan projek ini, perkara ini sedang dalam penelitian pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Oleh yang demikian, kelulusan akhir bagi cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman baharu hanya akan dipertimbangkan apabila kajian NASP telah disiapkan serta pematuhan kepada semua syarat yang ditetapkan oleh agensi-agensi kerajaan yang lain seperti mana yang dinyatakan dalam laporan-laporan teknikal tersebut.

DATUK SERI IR. DR. WEE KA SIONG
Menteri Pengangkutan Malaysia – HARAKAHDAILY 3/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -