Bimbang kuasa Menteri Kewangan terlalu besar

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai melahirkan kebimbangan pindaan Seksyen 69A Rang Undang-Undang (RUU) Akta Cukai Pelancongan 2022 (Akta 791) akan memberi kuasa yang terlalu besar kepada Menteri Kewangan.

Abdul Latiff Abdul Rahman, berkata pindaan itu membolehkan Menteri Kewangan melanjutkan tempoh melakukan sesuatu tindakan ketika negara berdepan krisis.

- Advertisement -

Sementara itu, katanya pindaan Seksyen 69B memberi kuasa kepada Menteri Kewangan untuk menambah atau memotong sebarang terma Akta 791 tanpa melalui Kabinet.

“Saya menyokong pindaan ini, namun saya bimbang pindaan ini akan menjadikan menteri mempunyai kuasa yang terlalu banyak,” katanya ketika membahaskan RUU Akta Cukai Pelancongan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Latiff juga memohon penjelasan sama ada cukai pelancongan dikenakan ke atas sewaan bankuet dan bilik mesyuarat.

Beliau juga ingin tahu jika pengenaan cukai pelancongan adalah secara sukarela atau wajib dan situasi jika terdapat pihak tidak berdaftar dan menjalankan aktiviti.

“Adakah hotel yang terletak di kawasan zon bebas cukai, kawasan yang ditetapkan, atau zon bebas juga dikehendaki berdaftar untuk cukai pelancongan.” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/2022

- Advertisement -