Umat Islam perlu hayati semangat hijrah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Sultan Kedah menyaran seluruh umat Islam khususnya di negeri ini agar menghayati semangat hijrah dan menterjemahkan dalam menjalani kehidupan berkeluarga atau secara individu.

Tuanku Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Al-Marhum Sultan Badlishah bertitah, ia bertepatan dengan tema Maal Hijrah tahun yang menyeru seluruh umat Islam memberi keutamaan dan perhatian khusus dalam aspek pembinaan keluarga.

Baginda bertitah, konsep hijrah perlu difahami dengan lebih mendalam kerana masih ramai tidak memahami definasinya secara keseluruhannya.

- Advertisement -

“Sebagai umat Islam perubahan kepada sesuatu yang lebih baik bukan menunggu waktu tertentu sebaliknya ia berlaku setiap masa.

“Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda bersusah payah mengalirkan keringat, berkorban harta dan jiwa menahan segala tohmahan dan ujian demi kebaikan umat.

“Justeru kita yang berada dalam keadaan yang cukup selesa hendaklah berhijrah atas nama kebaikan,” titah baginda sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah di Raia Hotel, hari ini.

Titah baginda tema Maal Hijrah tahun ini ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’ hendaklah direalisasi supaya sesuai dengan kehendak hijrah yang sebenarnya.

Menurut baginda, hijrah tidak hanya dikekalkan dengan tafsiran terhad seperti perpindahan dari satu tempat ke tempat lain, atau penghijrahan perbuatan sebaliknya diperluaskan ke sudut dimensi yang berbeza termasuk perubahan sikap.

“Rumahtangga yang diredai Allah pastinya dilayari mengikut lunas-lunas berpandukan ajaran Islam sepertimana firman Allah dalam surah Al-Anfal ayat 63 yang bermaksud: “Dialah yang menyatupadukan di antara hati mereka yang beriman dan kalaulah engkau belanjakan segala harta benda yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Baginda juga menyarankan suami bersungguh-sungguh membentuk keluarga yang harmoni dengan menjalankan tanggungjawab seperti mencari rezeki yang halal dan lain-lain.

“Rezeki yang halal diberi kepada anak-anak dan isteri akan menjadi darah daging. Jika sumber rezeki itu diperolehi secara haram maka ia akan merosakkan jiwa ahli keluarga dan memberi kesan negatif kepada pembentukan akhlak anak-anak,” tambah baginda.

Pepatah Inggeris titah baginda, “Family is where life begins and love never ends, family is not an important thing. It’s everything”.

Tuanku Sultan Kedah juga mengingatkan rakyat sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat serta menjaga kesihatan diri serta keluarga kerana virus Covid-19 masih berlegar di sekeliling.

Pada majlis berkenaan Allahyarham Ismail Ahmad dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1444, manakala Masjid Al-Halimi, Pekan Bandar Baru menerima anugerah Masjid Terbaik Bandar dan Masjid Al-Busra, Pekan Merbok, Sungai Petani diumumkan Masjid Terbaik Luar Bandar. – HARAKAHDAILY 2/8/2022

- Advertisement -