TDM jual unit operasi Indonesia RM115 juta

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin (tiga dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Pengarah Urusan Kumpulan iKHASAS, Ir Tan Chee Kian (lima dari kanan).
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebuah anak syarikat kerajaan Terengganu, TDM Berhad dan seorang pemegang saham minoriti menandatangani perjanjian jualan dan pembelian bersyarat (CSPA) dengan Ikhasas Sawit Sdn Bhd (iKHASAS Sawit).

Perjanjian itu membabitkan pelupusan kepentingan ekuiti 100 peratus PT Rafi Kamajaya Abadi (RKA) dan PT Sawit Rezki Abadi (SRA) pada harga RM115 juta.

Menurut satu kenyataan media TDM, syarikat itu memiliki 93.8 peratus daripada RKA dan 95 peratus daripada SRA yang bertapak di Indonesia yang mana masing-masing diperbadankan pada 2007 dan 2011.

Bagaimanapun katanya, RKA mengalami kerugian sejak diperbadankan sehingga tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2020, manakala SRA pula mengalami kerugian sejak awal penubuhannya.

“TDM juga menandatangani perjanjian perkhidmatan pengurusan bersama PT Ikhasas Indo Makmur bagi pengambilalihan kawalan operasi ke atas aset yang sedang dilupuskan sementara menunggu proses siap pada suku pertama tahun kewangan 2025.

“TDM akan memperolehi hasil kasar sebanyak RM112 juta daripada cadangan pelupusan tersebut tidak termasuk bahagian pemegang saham minoriti, yang mana RM74.2 juta akan diperuntukkan untuk
pembiayaan balik pinjaman berfaedah dan RM29.3 juta untuk modal kerja am,” kata kenyataan itu pada Sabtu.

Manakala baki RM8.5 juta pula akan diguna pakai bagi perbelanjaan berhubung dengan pelaksanaan pelupusan.

Sementara itu katanya, aturan perkhidmatan pengurusan bakal membolehkan TDM menjimatkan sejumlah besar aliran tunai yang boleh dimanfaatkan untuk aktiviti lebih produktif.

Sebelum ini katanya, jumlah tersebut digunakan untuk mengendali
dan menyelenggara RKA.

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, dengan penjimatan kos yang besar dan modal yang dijana daripada pelupusan tersebut, TDM dapat menumpukan sumber dan perhatian kepada operasi syarikat di Malaysia.

Katanya, itu termasuk inisiatif mengoptimumkan pengeluaran hasil tanah milik syarikat di Pantai Timur dengan mempelbagaikan usaha tanaman lain selain ladang kelapa sawit dan pengeluaran
minyak sawit mentah (CPO).

“Dengan proses pelupusan yang kini berjalan mengikut perancangan, TDM tekad untuk mempertingkatkan lagi usaha mencipta dan menambah baik nilai bagi pihak berkepentingan di
masa hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2022

- Advertisement -