Tan Sri Khalid: Perjuangan dan pengkhianatan

- Advertisement -

TERASA sebak mengenang kematian Tan Sri Khalid Ibrahim. Tokoh korporat yang terjun ke dunia politik untuk berkhidmat kepada rakyat. Namun kekangan masa menangguhkan ruang untuk saya turut mencoret rasa.

Kemunculannya tiba-tiba di saat rakyat tercari-cari tokoh yang benar-benar mampu membangunkan negara. Kehadirannya seakan menyambut seruan Tuan Guru Presiden PAS agar negara di batu tokoh teknokrat. Walaupun beliau memilih PJR, namun umum mengetahui jiwa perjuangannya terlalu dekat dengan PAS. Tidak perlu saya singkap kisah di sebalik tabir beliau dan PAS.

Di saat rakyat perlukan perubahan, ketika itu beliau muncul menjadi tokoh utama di Selangor. PKR tiada pilihan melainkan menabalkan beliau sebagai Menteri Besar Selangor. Negeri yang dikatakan paling maju dalam negara.

Bakat kepimpinan korporat beliau diterjemahkan sepenuhnya. Kegemilangan beliau dalam urus tadbir yang telus direalisasikan. Tiada wang yang tiris. Antara ungkapan beliau ‘ini duit rakyat Selangor, bukan duit parti’ antara kalimah yang menyimpan rahsia serta tekanan yang dihadapi.

Simpanan dana Selangor yang banyak menjadi idaman pemimpin parti politik beliau. Namun ketegasan menjaga amanah menjadikannya ‘kedekut’ di kalangan pimpinan partinya.

Bermula cita-cita rakus dilaksanakan melalui ‘Langkah Kajang’. Kononnya bukan untuk menukar Menteri Besar, ADUN Kajang meletak jawatan. Langkah Kajang langkah sumbang, cita-cita Menteri Besar tetapi dihumban ke penjara. Harap bini jadi Menteri Besar, sudahnya Azmin yang balik dari luar negeri mendapat hidangan percuma hasil ‘kluk klek’ beberapa pencatur.

Tan Sri Khalid Ibrahim adalah korban politik rakus PKR sekutu utama PH. Beliau disingkir dari jawatannya dengan fitnah. Pemimpin PAS lah yang mempertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim. Tuan Guru Presiden dan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Rombongan DAP ditempelak Tuan Guru. Namun PKR punya kuasa kerana kerusi Menteri Besar milik mereka. Tan Sri Khalid Ibrahim adalah ADUN mereka. 

Tan Sri Khalid Ibrahim telah kembali kepada penciptanya. Namun mereka yang mengkhianatinya berterusan memburu impian yang kian jauh dari jangkauan. Semoga Almarhum Tan Sri Khalid Ibrahim ditempatkan bersama solehin.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 2/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -