Rizab air terawat Kedah, Kelantan sangat rendah

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Rizab margin air terawat di Kedah dan Kelantan pada tahap kosong peratus menyebabkan kedua-dua negeri itu terdedah kepada risiko gangguan jika berlaku kenaikan permintaan secara mendadak.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata keadaan itu adalah antara punca utama masalah bekalan air terawat di Kedah dan Kelantan, selain purata kadar tarif yang rendah dan kadar kehilangan air (NRW) yang tinggi.

- Advertisement -

Katanya, purata kadar tarif di Kelantan ialah RM1.12/m3, manakala di Kedah ialah RM1.11/m3 berbanding purata tarif kebangsaan sebanyak RM1.68/m3.

“Situasi itu menyebabkan dua negeri ini sukar untuk melaksanakan perbelanjaan operasi (OPEX), apatah lagi perbelanjaan modal (CAPEX) untuk menyediakan perkhidmatan bekalan air yang lebih baik kepada pengguna.

“Keadaan ini secara tidak langsung juga menjejaskan kemampuan kedua-dua operator air, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Syarikat Air Kedah Darulaman Sdn Bhd (SADA) untuk membayar sewa pajakan CAPEX kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang meminta Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menjelaskan punca sebenar masalah bekalan air terawat di Kedah dan Kelantan yang berlarutan.

Tuan Ibrahim berkata, NRW yang tinggi iaitu 52.6 peratus di Kelantan dan 49.9 peratus di Kedah, berbanding purata kebangsaan 36 peratus juga merupakan punca masalah bekalan air terawat di Kedah dan Kelantan.

Katanya, NRW yang tinggi menjejaskan pengoperasian dan hasil kedua-dua operator dalam memenuhi permintaan air yang kian meningkat daripada sektor domestik dan industri.

Sehubungan itu, katanya penyelesaian kepada isu air di kedua buah negeri itu memerlukan tindakan berterusan secara proaktif melibatkan tiga aspek utama, iaitu pembangunan aset air, kemampanan kewangan dan intervensi kawal selia yang lebih mantap.

Beliau berkata, mengikut Rolling Plan Ke-2 (RP2) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), KASA memperuntukkan RM121.2 juta bagi pelaksanaan projek air untuk Kedah dan kemudahan pinjaman daripada PAAB sebanyak RM80 juta di bawah Tempoh Operasi ke-4 (OP4) bagi 2021 hingga 2023.

Manakala bagi Kelantan, katanya sebanyak RM7.1 juta diperuntukkan di bawah RP2, RMK-12 dan kemudahan pinjaman daripada PAAB, iaitu RM664.8 juta bagi Kelantan di bawah OP4 bagi 2021 hingga 2023.

“Fokus utama ialah isu melibatkan air margin terawat, isu kehilangan air, perluasan program penggantian pemasangan paip air dan sistem retikulasi, dan pemodenan sistem teknologi maklumat.

“Dari aspek intervensi kawal selia, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menubuhkan Task Force Bekalan Air Kelantan, Kedah dan Pahang bagi melihat secara dekat tentang pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dapat dicapai, pelaksanaan projek sumber dan bekalan air, serta pemantapan program NRW dan pematuhan indikator kualiti air oleh AKSB dan SADA. – HARAKAHDAILY 2/8/2022

- Advertisement -