Rahsia kenapa rakyat Kelantan bahagia

- Advertisement -

Oleh AHMAD FATHY YUSOFF AJAMI

“RAKYAT Kelantan jauh lebih bahagia berbanding Selangor”. Inilah tajuk berita yang memetik ucapan Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Berita itu segera menjadi tular dan netizen mula mempersoalkan sejauh mana rakyat Kelantan bahagia dan ketepatan fakta tersebut?

Sebenarnya Mohd Amar mengulas satu dapatan kajian yang dibentangkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, sebuah agensi Kerajaan Persekutuan yang bertajuk Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021.

Survei Kebahagiaan Rakyat Malaysia telah dilaksanakan buat pertama kalinya oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2021. Objektif survei adalah untuk mengukur kebahagiaan rakyat di Malaysia.

- Advertisement -

Pengukuran kebahagian itu mengambil kira pelbagai aspek dan menyeluruh kerana melibatkan 13 komponen yang merangkumi seluruh aspek kehidupan rakyat melibatkan fizikal, sosial, emosi dan spiritual.

Markah setiap komponen ini dikumpul dan hasilnya tahap kebahagiaan rakyat mengikut negeri dihasilkan.

Markah kebahagiaan dibahagikan kepada 5 tahap. 0-2: Sangat Tidak Bahagia. 2-4: Tidak Bahagia. 4-6. Sederhana Bahagia. 6-8: Bahagia. 8-10: Sangat Bahagia.

Hasil kajian menunjukkan W.P. Labuan merekodkan skor Indeks Kebahagiaan tertinggi dengan 9.29 pada tahap Sangat Bahagia. Negeri yang mencatatkan skor tertinggi pada tahap Bahagia adalah W.P. Kuala Lumpur (7.77), W.P. Putrajaya (7.28), Terengganu (7.20), Kelantan (7.02) dan Perlis (6.96).

Selangor merupakan negeri terbawah dengan skor 5.74. Inilah fakta yang diulas Mohd Amar. Inilah hakikat yang sukar untuk diterima oleh golongan yang anti Kelantan.

Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa rakyat Kelantan jauh lebih bahagia berbanding rakyat Selangor.

Mari kita melihat secara terperinci komponen-komponen yang menyumbang markah tinggi kepada kebahagiaan rakyat Kelantan.

Komponen yang mendapat markah tertinggi ialah amalan kerohanian (7.93) diikuti oleh keselamatan awam (7.50), keluarga (7.43), kesihatan (7.28), perumahan dan alam sekitar (7.18), kebudayaan dan komponen penggunaan masa (7.13), pendidikan (7.10) dan lain-lain.

Inilah rahsianya! Inilah rahsia kenapa rakyat Kelantan bahagia. Amalan kerohanian. Kelantan sememangnya sinonim dengan gelaran Serambi Mekah. Agama Islam sentiasa menjadi tumpuan utama di Kelantan sejak zaman-berzaman.

Kelantan terkenal dengan institusi pondok dan ulama-ulama yang sentiasa berjuang memartabatkan Islam antaranya Tok Pulai Chondong, Tok Konok, Tuan Padang, Tok Wan Ali Kutan, Tuan Tabal, Tok Kenali dan ramai lagi.

Begitu juga selepas merdeka, setelah pilihan raya pertama pada 1959, Kelantan ditadbir oleh PAS. Kerajaan pada masa itu berusaha mentadbir berasaskan Islam dengan memberi tumpuan kepada amar makruf dan nahi mungkar.

Antara program pembangunan yang dilakukan adalah: menubuhkan Lembaga Kemajuan tanah Negeri Kelantan (1960), menubuhkan Jemaah Biasiswa Pelajaran Kerajaan Negeri (1961), membina Jambatan Sultan Yahya Petra (1963-1965), menubuhkan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri (1965), menubuhkan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC/PKINK)(1966), membina Stadium Sultan Muhammad IV (1967) dan menubuhkan Yayasan Islam Kelantan (YIK)(1974).

Kerajaan PAS ketika itu juga mengawal aktiviti hiburan, mengharamkan amalan puja pantai, membanteras laga lembu dan sabung ayam, menutup Biaritz Park (Show Wakaf Siku) pada 1964 dan lain-lain lagi.

Pelantikan Tok Guru Dato Bentara Setia Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan pada 1990 terus memperkukuhkan agenda Islam dalam Kerajaan Kelantan. Tok Guru menggagaskan Dasar Membangun Bersama Islam bagi membangunkan Kelantan menurut panduan Islam.

Peruntukan untuk pendidikan agama melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) semakin bertambah tahun demi tahun. Sekolah-sekolah agama terus diperkasa dengan penubuhan Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong pada 1992, kemudian ditubuhkan Maahad Tahfiz Sains (aliran Sains Tulen).

Selain itu Maahad Tahfiz Sains (aliran Sains Tulen dan bahasa Mandarin) dan terbaharu Maahad Sains Tok Guru yang menggabungkan elemen tahfiz (5 juzuk), sains tulen, penguasaan bahasa Arab/Inggeris dan pengajian kitab turath (pondok) secara bersepadu.

Hasilnya, pelajar-pelajar YIK khususnya Maahad Muhammadi mencatat kejayaan yang membanggakan termasuk dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM peringkat kebangsaan dengan 15A termasuk 10A+! antaranya Siti Fatimah Mukhtar, Nik Nur Madihah dan Habibah Hanan.

Banyak lagi yang saya ingin kongsikan termasuk aspek kebajikan yang konsisten dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Pendek kata, inilah makna kebahagian sebenar buat rakyat Kelantan apabila menjadikan Islam sebagai dasar dalam membangunkan negeri. Legasi Tok Guru Nik Aziz diteruskan malah dipertingkatkan Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob melalui Merakyat Membangun Bersama Islam. – Media Point

- Advertisement -