Pesta arak perosak tamadun

- Advertisement -

ISLAM adalah agama yang tidak membenarkan penganutnya membeli, menjual, menyedia dan meminum arak. Justeru ia adalah minuman yang memabukkan serta menghilangkan akal, sedang Islam sangat menghargai akal yang sihat.

Namun, Islam tidak pernah menghalang individu bukan-Islam jika agamanya membenarkan ia meminum arak. Namun berbeza dengan pesta arak yang dirayakan secara terbuka seperti Oktoberfest.

Apabila arak difestivalkan acara meminumnya di dalam negara ini, ia bererti satu promosi dan galakan kepada masyarakat Malaysia untuk minum arak. 

Sementara Malaysia adalah sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Islam adalah agama negara. Maka sudah barang tentu bahawa festival arak tersebut bukan sahaja tidak sesuai bahkan sangat mencabar kedudukan Islam sebagai agama negara.

Bahkan arak itu sendiri menjadi pembuka pintu masuk kejahatan dalam negara ini. Kejahatan yang dihasilkan mampu meruntuhkan peradaban manusia dan tamadun negara kita.

Sabda Rasulullah S.A.W:

- Advertisement -

‎اجْتَنِبُوْا الخَمْرَ فَإِنَّهَا مِفْتَاحُ كُلِّ شَرٍّ

“Hendaklah kamu menjauhi arak, sesungguhnya arak kunci segala kejahatan.”

(Riwayat al-Hakim)

Saya pernah terbaca satu laporan beberapa tahun yang lalu, yang menyebut bahawa Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan bahawa arak adalah lebih bahaya berbanding terrorist kerana lebih 3 juta manusia mati kerana arak di seluruh dunia.

Arak sememangnya mendorong keganasan rumah tangga, pemandu mabuk menjadi pembunuh kejam di jalan raya, menjadi punca kepada penyakit kronik, pencetus kepada maksiat serta mungkar dan sebagainya.

Sebagai contoh di United Kingdom, statistik menunjukkan bahawa 39 peratus keganasan rumahtangga adalah berpunca dari arak sementara 1 juta serangan ganas sekitar tahun 2007/2008 adalah angkara mabuk dan separa mabuk.

Benar Firman Allah S.W.T:

‎إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ

“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

(al-Maidah: 91)

Arak bukan penyumbang kepada pembangunan sebaliknya meruntuhkan. Arak tidak pula melestarikan budaya harmoni dalam masyarakat sebaliknya menyuburkan persengketaan. Arak tidak membina akal yang sihat dan minda yang cerdas sebaliknya melumpuhkan daya fikir.

Lantaran itu, kenapa arak mahu dipesta-pestakan kalau tidak mereka mahu menjadi ejen meruntuhkan tamadun dan merosakkan nilai peribadi masyarakat.

Sekian.

USTAZ NASRUDIN HASSAN – HARAKAHDAILY 2/8/2022

- Advertisement -