Pesawat terbang tanpa pemandu TUDM beroperasi 2026

Antara model pesawat terbang tanpa pemandu
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka memperolehi pesawat terbang tanpa pemandu kategori Medium-altitude Long-endurance Unmanned Aircraft System (MALE UAS) pada 2025 dan mula beroperasi seawal 2026.

Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, berkata pemilikan MALE UAS akan memperkukuhkan penguasaan ruang udara negara.

- Advertisement -

Katanya, Kementerian Pertahanan telah melengkapkan semua proses penilaian tender bagi perolehan MALE UAS dan Lembaga Perolehan kementerian telah memperakukan petender yang dipilih dan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MoF) pada 7 Julai lalu untuk dimuktamadkan.

“Melalui maklum balas terkini daripada MoF, keputusan berkaitan perkara ini akan diketahui dalam kadar segera,” katanya menjawab soalan lisan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Sik meminta Menteri Pertahanan menyatakan status tender, perolehan dan ekosistem penyelenggaraan, perancangan alatan persenjataan terkini MALE UAS bagi kegunaan TUDM.

Berhubung ekosistem penyelenggaraan, Ikmal Hisham berkata, ia akan dilaksanakan selepas tamat tempoh waranti daripada Pengeluar Peralatan Asal (OEM) berpandukan konsep senggaraan yang akan ditentukan oleh TUDM.

Mengenai perancangan perolehan persenjataan, termasuk Peperangan Elektronik (EW), katanya bagi aset ini akan dilaksanakan pada fasa perolehan kedua dan ketiga dalam Rancangan Malaysia Ke-13 dan Rancangan Malaysia Ke-16.

“Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malayusia (ATM) memberikan komitmen penuh bagi memastikan program pemodenan ATM, terutama TUDM berada pada landasan yang tepat demi meningkatkan tahap keupayaan dan kesiapsiagaan ATM,” katanya.

Beliau yakin program perolehan MALE UAS akan memenuhi keperluan TUDM seiring dengan perubahan teknologi masa kini dalam usaha mencegah sebarang bentuk ancaman udara dan seterusnya meningkatkan keselamatan ruang udara negara.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi, beliau berkata semua perolehan aset TUDM melalui Pelan Rancangan Jangka Panjang CAP 55 dilaksanakan melalui kaedah tender terbuka yang turut melibatkan proses penilaian fizikal.

“Kementerian Pertahanan yakin kaedah ini dapat menangani permasalahan secara bersistematik bersama kaedah yang telus dengan memberikan risiko yang rendah ke atas aspek pemilihan aset yang bersesuaian untuk kegunaan TUDM.

“Melalui kaedah ini, TUDM akan memperolehi aset pertahanan yang menepati kehendak TUDM atau penekanan terhadap berorientasikan pengguna akhir,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/22

- Advertisement -