Mereka tidak langsaikan mohon maaf sebelum pemergiannya

- Advertisement -

AMAT sedih dan memilukan apabila mendengar khabar duka pemergian Almarhum Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim (ATSKI).

Beliau adalah seorang yang ulung dengan integriti yang amat tinggi, sehinggalah penghujung hayatnya.

Tetapi amat meloyakan lagi menjengkelkan tatkala mendengar ucapan-ucapan takziah daripada politikus-politikus DAP dan PKR, khususnya mereka yang memanggilnya ‘rakan seperjuangan’.

Apakah kalian lupa atau buat-buat lupa bahawa ATSKI merupakan mangsa fitnah dengan pembohongan setebal 91 muka surat dan mangsa rampasan kuasa kalian?

Lupakah kalian sehabis-habisan siang malam, pagi petang Subuh dan senja tanpa ehsan dan rehat menyerang ATSKI bagi memenuhi keinginan kalian untuk menjadikan Penasihat dan Presiden PKR sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor melalui Langkah Kajang yang dipelopori oleh ‘budak bijak’ kalian?

Lupakah kalian semua bahawa kalian merata-rata berceramah untuk memfitnah ATSKI dan menuduhnya dengan segala macam penyelewengan berhubung jualan tanah, perjanjian air dan penyelesaian pinjamannya dengan Bank Islam?

Lupakah kalian bahawa kalian memecat ATSKI dari PKR apabila beliau enggan memberi laluan di waktu pemilihan PKR yang dilihat berkemungkinan besar ATSKI mampu menang sebagai Timbalan Presiden PKR? 

Akhirnya PKR dan Setiausaha Agung PKR waktu itu telah disaman kerana memfitnah, di mana waktu mahu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, secara tetiba Setiausaha Agung dan PKR mahu dan bersetuju untuk membuat permohonan maaf yang jelas dan tanpa syarat secara terbuka kepada ATSKI di mahkamah sebagai penyelesaian?

Lupakah kalian bagaimana selepas itu ‘budak bijak’ kalian kemudiannya cuba memutar belit fakta dan mengatakan bahawasanya ATSKI telah menarik balik samannya, sehingga menyebabkan ATSKI secara tuntas lagi pantas mengeluarkan kenyataan balas bahawa ia merupakan satu penyelesaian, bukan ‘tarik balik’?

Dan lupakah kalian bahawa ‘budak bijak’ kalian kemudian cuba berbohong apabila mengatakan ‘kedua-dua pihak sudah minta maaf’ (ketika PKR membuat permohonan maaf yang jelas dan tanpa syarat), sehingga ATSKI terpaksa mengeluarkan kenyataan yang beliau menerimanya dan kemudian cuma mengucapkan ‘Maaf Zahir dan Batin’ sempena Hari Raya (‘Dalam semangat bulan Syawal ini…’)?

Bagaimana ‘permohonan maaf yang jelas dan tanpa syarat PKR di mahkamah’ dengan ‘Maaf Zahir dan Batin’ itu boleh disamakan dengan ‘kedua-dua pihak minta maaf’?

Saya hanya berharap mereka yang terlibat dalam gerak kerja jijik lagi jelik memfitnah ATSKI dengan cerita direka cipta setebal 91 muka surat berpeluang meminta maaf daripada ATSKI sebelum pemergiannya, tetapi Almarhum sudahpun tiada lagi

HANISYA ABDUL HAMID – HARAKAHDAILY 2/8/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -